Semasa Barcelona sibuk mengalahkan Manchester United, sebuah syarikat pengeluar rokok juga sibuk mempromosikan produk mereka di sebuah medan selera awam, yang terdapat ramai pengunjung remaja dan golongan muda.

Syarikat rokok tersebut telah menggunakan beberapa gadis muda untuk menjual rokok di tempat tersebut. Pengunjung-pengunjung muda beratur untuk membeli rokok dengan jurujual syarikat tembakau tersebut. 

Kemudian, seorang pengacara di tempat tersebut mengumumkan bahawa penganjur akan memberikan hadiah percuma kepada peminat-peminat bola sepak yang ditaja.

Walaupun penaja hadiah itu tidak dinyatakan, tetapi pada pertengahan permainan, pengacara tersebut telah mengumumkan bahawa terdapat promosi untuk membeli rokok.

Oleh itu bolehlah dianggap bahawa acara tersebut adalah ditaja oleh syarikat rokok. 

Malaysia telah menandatangani perjanjian Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) pada tahun 2003 yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan produk tembakau di negara ini. Dalam garis panduan yang terdapat dalam rangka kerja tersebut telah menunjukkan perlunya diadakan peraturan bagi mengehadkan pengiklanan, promosi dan penajaan syarikat rokok. Garis panduan tersebut juga telah menetapkan bahawa dorongan untuk menggalakkan orang ramai untuk membeli rokok seperti promosi harga dan memberi hadiah percuma perlu dikawal. 

Dengan peraturan yang diketatkan oleh kerajaan, syarikat rokok telah menggunakan kaedah alternatif untuk mempromosikan produk mereka. Syarikat-syarikat tersebut menggunakan nama lain yang tidak berkaitan dengan nama produk mereka untuk mengadakan pelbagai acara seperti konsert, menonton perlawanan bola sepak, hadiah cabutan bertuah dan banyak lagi. Dalam acara tersebut, mereka akan menjual produk mereka dengan menawarkan hadiah percuma atau harga promosi dan peluang untuk memasuki acara cabutan hadiah bertuah. 

Selain daripada promosi di media utama, kerajaan juga patut mengkaji cara promosi syarikat rokok melalui acara atau pertunjukan yang berkaitan dengan orang ramai, terutamanya orang muda yang hadir ke acara mereka. Begitu juga tarikan promosi yang dijalankan seperti seperti harga promosi, cabutan bertuah dan hadiah percuma untuk menggalakkan orang ramai membeli produk mereka. 

Walaupun secara keseluruhannya jumlah perokok di Malaysia telah menurun sedikit, tetapi semakin ramai penghisap rokok daripada golongan yang berusia muda. Menurut Menteri Kesihatan, remaja perempuan berusia 13-15 tahun yang merokok telah meningkat daripada 11.5% pada tahun 2003 kepada 12.4% pada tahun 2009. Kebanyakan mereka beranggapan merokok menyebabkan mereka nampak bergaya. 

Pendidikan tentang bahaya merokok perlu ditumpukan kepada golongan muda yang semakin cenderung untuk merokok. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan sesi kesedaran bahaya merokok di di sekolah. 

Selain itu, segala bentuk promosi, penajaan, dorongan pembelian seperti hadiah percuma yang dijalankan oleh syarikat rokok, sama ada secara langsung atau tidak langsung, hendaklah dihadkan selaras dengan perjanjian FCTC. Tindakan penguatkuasaan yang berkesan untuk mengawal mereka yang merokok di tempat awam juga dalam usaha melindungi perokok pasif yang lain terutamanya kanak-kanak.

31 Mei adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 63% kematian di seluruh dunia disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit (NCD). Antara faktor utama adalah penggunaan tembakau selepas tekanan darah tinggi. Tembakau telah membunuh hampir 6 juta orang setiap tahun di seluruh dunia. Lebih daripada 5 juta orang ialah perokok atau bekas perokok, manakala lebih daripada 600,000 orang ialah perokok pasif. Laporan WHO juga menunjukkan perokok lebih cenderung untuk mendapat penyakit berjangkit seperti penyakit tibi dan penyakit radang paru-paru. Jika keadaan ini berterusan, ia dapat menyebabkan kematian sehingga satu bilion orang dalam abad ke-21, yang sebenarnya boleh dielakkan. 

Pengguna memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menjadikan negara Malaysia sebagai negara tanpa rokok. Lakukan perubahan sebelum terlambat demi kesihatan diri anda dan ahli keluarga anda. Biar perubahan bermula dari anda pada Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini. 

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)