Keputusan Indonesia untuk membekalkan pembantu rumah kepada Malaysia melegakan rakyat Malaysia. Pembekuan pengambilan pembantu rumah dari Indonesia berlarutan selama dua tahun itu berakhir selepas kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

Bagi kerajaan Malaysia, kejayaan MOU ini merupakan satu kejayaan kerana dapat menyelesaikan masalah kekurangan pembantu rumah. Namun pernahkah kerajaan Malaysia terfikir mengapa pembekuan tersebut dilakukan? Jika mereka pernah terfikir, apa pula tindakan yang diambil bagi mengelak keadaan ini berulang kembali? 

Kes penderaan pembantu rumah warga asing kerap berlaku di Malaysia. Ada juga kes sehingga menyebabkan pembantu rumah mati akibat daripada penderaan tersebut. Kejadian seperti ini menyebabkan kerajaan Indonesia membuat sekatan pembantu rumah ke Malaysia selama dua tahun. Sekatan tersebut membawa kesan yang negatif kepada warga Malaysia kerana kekurangan pembantu rumah.

Bagi mengatasi kekurangan pembantu rumah Indonesia, kerajaan cuba mendapatkan pembantu rumah daripada negara lain seperti Kemboja. Sementara itu kerajaan Malaysia juga cuba membuat perbincangan dengan kerajaan Indonesia untuk mengembalikan kepercayaan yang hilang selama ini kerana banyak kes penderaan dan kematian.

Dalam hal ini, kenapa kerajaan Malaysia gagal untuk memahami bahawa ketiadaan akta yang melindungi pembantu rumah asing menyebabkan kes-kes penderaan berlaku. 

Akta adalah instrumen yang paling penting untuk melindungi seseorang. Ia bukan sahaja melindungi pembantu rumah, malah juga melindungi kepentingan majikan daripada agensi-agensi pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu diharapkan kerajaan Malaysia tidak mengambil mudah dengan MoU tersebut sebagai kejayaan mereka. Kejayaan sebenar adalah  mewujudkan akta yang melindungi pembantu rumah dan majikan. 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)