Gangguan perkhidmatan dan penerbangan yang tertunda sering mengecewakan  para penumpang syarikat penerbangan. Perkhidmatan penerbangan yang merupakan pengangkutan paling mahal. Oleh itu ia sepatutnya  memiliki standard yang lebih tinggi daripada perkhidmatan pengangkutan yang lain. Namun secara realitinya, perkhidmatan yang diberikan  gagal mencapai kepuasan pengguna ini kerana perkhidmatan pelanggan yang kurang memuaskan dan mekanisme ganti rugi yang tidak setimpal.

Perkhidmatan pelanggan melalui talian juga begitu mahal dan mengambil tempoh yang agak lama untuk dihubungi. Begitu juga tempoh lama yang diambil untuk menyelesaikan masalah yang diadukan oleh pengguna.

Pembatalan penerbangan pada saat-saat akhir juga mengecewakan dalam menggunakan perkhidmatan ini. Ini menyebabkan banyak urusan penting pengguna yang terganggu, di samping banyak kerugian yang terpaksa ditanggung. Beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan dari masa ke masa kerana alasan yang tidak diketahui. Adakalanya alasan yang diberikan ialah kelewatan pesawat yang disebabkan oleh masalah teknikal yang melibatkan pesawat, penangguhan dan cuaca buruk. 

Ramai pengguna yang mengadu bahawa jika masalah kelewatan itu diketahui lebih awal, mereka boleh mendapatkan penerbangan yang lain supaya sempat sampai ke destinasi yang dituju. Syarikat penerbangan juga tidak melayani kerugian dan kehilangan masa yang terpaksa ditanggung oleh pengguna akibat daripada penangguhan penerbangan tersebut. 

Secara keseluruhan syarikat penerbangan harus bersikap lebih mesra pelanggan, meningkatkan mutu perkhidmatan sehingga pelanggan boleh menikmati perkhidmatan yang setimpal dengan kos yang dibelanjakan.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)