Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh dunia pada hari ini ialah simpanan bahan api fosil yang semakin terhad dan dijangka akan kehabisan dalam tempoh antara 70 tahun hingga 150 tahun akan datang. Menurut kajian yang dijalankan oleh  International Energy Association  (IEA), pada tahun 2015, permintaan bahan api dunia akan mengatasi pengeluaran. Keadaan ini akan mengakibatkan krisis kekurangan tenaga sedunia yang besar.

Oleh kerana itu,  keperluan untuk mempelbagaikan pergantungan kepada sumber tenaga alternatif terutamanya tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen yang menggunakan Sel Fuel sebagai penukar tenaga adalah amat diperlukan.

Sel Fuel ialah teknologi penukaran tenaga utama masa hadapan yang akan menggantikan teknologi enjin pembakaran dalaman. Dalam sel fuel, tenaga kimia di dalam hidrogen dan oksigen ditukar secara elektokimia melalui tindak balas redoks elektrokimia pada anod dan ketod sel kepada tenaga elektrik dan sedikit haba. Sel fuel merupakan teknologi penukaran tenaga yang paling mesra alam yang amat sesuai bagi menyelesaikan masalah pemanasan global dan perubahan iklim.


Rajah 1: Sistem Sel Fuel.



Sel fuel mempunyai kecekapan penukaran tenaga sebanyak 40-50% yang lebih tinggi daripada kecekapan penjana kuasa yang membakar arang batu atau kecekapan enjin pembakaran dalaman. Ia tidak mempunyai sebarang bahagian bergerak selain daripada peniup udara. Oleh itu ia lebih boleh diharapkan dan kurang hingar, mempunyai kos penyelenggaran yang murah dan hayat pengendalian yang lama.

Teknologi sel fuel ini adalah suatu teknologi yang bersih dan menghasilkan pencemaran kimia yang kecil. Ia juga boleh menggunakan hidrogen tulen atau berbagai-bagai bahan api fosil seperti gas asli dan metanol secara langsung. Dalam sel fuel yang  bersuhu tinggi, gabungan pemanasan dan kuasa akan menambah kecekapan sel fuel ini.

Di Malaysia, Institut Sel Fuel telah ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada bulan Julai 2006 sebagai sebuah institut pertama yang melakukan penyelidikan tentang sel fuel.

Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia