Selepas pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikuatkuasakan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pada semua kenderaan yang melanggar undang-undang di semua jenis jalan.

Sebelum ini, JPJ hanya mempunyai kuasa pada kenderaan yang melanggar undang-undang di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.

Namun, dengan pindaan yang baru ini, JPJ juga boleh bertindak di semua tempat, sebagai contoh, jalan-jalan di dalam ladang, taman, kampung dan taman kediaman.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Datuk Ismail Ahmad, pegawai JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap kenderaan di dalam tempat meletak kereta dan tepi jalan jika mereka melanggar undang-undang.

Pindaan akta ini memberi lebih kuasa kepada pegawai JPJ agar dapat bertindak pada kenderaan yang melanggar undang-undang. Namun, ia perlu pengawalan yang ketat agar penguatkuasaan yang efektif dapat diwujudkan untuk menolong rakyat.

Sebagai contoh, sering kali terdapat bahawa motosikal yang diletakkan dengan sesuka hati di kaki lima, tepi jalan ataupun di stesen bus. Terdapat juga penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar di dalam kampung. Apakah pegawai JPJ boleh bertindak pada pemandu motorsikal seperti ini?

Di samping itu, apabila sesebuah kenderaan melanggar undang-undang jalan raya di dalam kawasan persendirian. Adakah tindakan boleh diambil ke atas mereka?

Demikian juga terhadap kenderaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU). Apakah JPJ boleh mengambil tindakan terhadap mereka?

Terdapat banyak persoalan yang timbul daripada penguatkuasaan pindaan akta ini. Persoalan ini perlu diperjelaskan agar pelaksanaannya meyakinkan dan tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Selain itu, satu garis panduan perlu dibangunkan bagi memperincikan peraturan yang terdapat dalam pindaan baru ini bagi mengelakkan sebarang kemusykilan yang timbul semasa penguatkuasaan dilakukan.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia