Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengakui bahawa harga produk berasaskan tenusu akan mengalami kenaikan disebabkan oleh kenaikan bahan mentah tersebut di peringkat antarabangsa. Ini menyebabkan harga produk tenusu import dan tempatan akan meningkat.

Harga mentah tenusu telah meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) tan pada tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) tan akhir 2009.

Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga produk berasas tenusu itu kerana ia bukan barang kawalan. Walaupun produk tersebut termasuk dalam barang kawalan sekalipun, kenaikan bahan mentah tersebut boleh menimbulkan masalah bekalan pula, apabila pengeluar boleh menghentikan pengeluarannya jika harga kawalan yang ditetapkan kerajaan itu tidak menguntungkan mereka.

Umpamanya sebelum ini kerajaan pernah mengawal harga dua jenis susu pekat manis, iaitu susu pekat manis penuh krim dan susu pekat manis isian, sebelum dimansuhkan pada 1 April 2009. Disebabkan kawalan harga tersebut, pengeluar telah menghentikan pengeluaran dan penjualan kedua-dua produk susu pekat manis tersebut, sebaliknya menjual susu pekat manis yang tidak dikawal hargannya. Ini menimbulkan masalah bekalan kepada pengguna yang ingin mendapatkan susu pekat manis yang dikawal itu. Namun begitu, kedua-dua susu pekat manis tersebut mudah diperolehi di negara jiran seperti Singapura kerana hargannya tidak dikawal.

Dalam pada itu, susu tepung rumusan bayi pula sering mengalami kenaikan harga. Bagi tidak menampakkan kenaikan harga yang ketara, pengeluar sering menukar pek bungkusan susu rumusan bayi dengan pek yang baru. Pek baru ini telah dinaikkan harganya.

Kenaikan harga produk berasaskan tenusu ini mungkin meningkat perbelanjaan pengguna. Dalam hal ini, pengguna perlu membuat perubahan dari segi pengambilan susu dalam minuman mereka.

Selain itu, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu menyusun strategi agar pengeluar susu tempatan tidak terlalu bergantung kepada bahan mentah susu daripada luar negara. Penyelidikan yang berterusan perlu dilakukan ke atas ternakan tempatan bagi membolehkan ternakan tersebut dapat menghasilkan susu yang boleh menepati keperluan pengeluar susu tempatan. Dengan cara ini perubahan harga bahan mentah susu di peringkat antarabangsa kurang menjejaskan harga produk berasaskan tenusu tempatan.

Kementerian Kesihatan pernah mewujudkan skim bantuan susu bayi kepada golongan berpendapatan rendah. Skim ini sama seperti ‘food stamp” di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat. Malahan ‘food stamp” ini juga dinikmati oleh pelajar Malaysia yang menuntut di Amerika Syarikat jika mereka menepati syarat yang ditetapkan.

Bagi memastikan bayi di Malaysia menikmati makanan yang berkhasiat, wajar sekiranya skim ini diwujudkan semula. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada bayi daripada golongan berpendapatan rendah tidak mendapat makanan yang berkhasiat disebabkan oleh harga susu rumusan bayi yang tinggi.

Sebenarnya bayi tersebut masih boleh mendapat makanan berkhasiat, walaupun tanpa susu tepung rumusan bayi, jika bayi itu diberikan dengan susu ibu. Galakan dan kempen berterusan perlu dilakukan bagi menggalakkan ibu menyusu bayi mereka dengan susu sendiri. Bayi akan lebih sihat apabila mengambil susu ibu. Begitu juga pelbagai penyakit turut dapat dielakkan sekiranya bayi diberikan susu ibu.

Namun disebabkan kebanyakan ibu pada masa ini telah kurang menyusukan bayi mereka menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada susu tepung rumusan bayi. Justeru, kenaikan harga susu tepung susu bayi sudah tentu memberikan kesan kepada mereka.

Pada masa ini kerajaan tidak boleh mengawal kenaikan harga barang yang bukan kawalan. Namun begitu, apabila Akta Anti-Pencatutan telah diwartakan kelak, kerajaan boleh mengambil tindakan kepada pihak yang menjual barang dengan harga yang keterlaluan.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)