“Makanan yang kelihatan elok tidak semestinya bersih tetapi ia boleh diagak apabila kita melihat keadaan premis yang menghidangkan makanan itu.

“Kalau kotor atau terdapat serangga vektor, berkemungkinan besar pencemaran makanan sudah berlaku.

“Ini kerana pencemaran makanan bermula daripada pemilihan bahan, penyediaan, peringkat pemotongan, pencucian, proses memasak dan cara ia disimpan sebelum dihidangkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, sikap sesetengah pengusaha restoran atau kedai makan menggunakan semula makanan yang tidak terjual untuk dimasak pada keesokan harinya adalah amat tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam kesihatan pelanggan.

Simptom keracunan seperti loya, cirit-birit dan demam lazimnya berlaku selepas tiga jam seseorang individu itu mengambil makanan yang tercemar.


Tambahnya, ia sebenarnya suatu proses menyingkirkan toksin yang dicernakan dalam sistem penghadaman menerusi najis dan muntah.

Menurutnya, perkara itu merupakan tindak balas sistem pertahanan tubuh yang normal kerana toksin itu harus dikeluarkan dengan kadar yang segera. Namun, ia menyebabkan ketidakselesaan dan tubuh menjadi lemah.

“Menghalang toksin yang keluar mungkin berbahaya pada tubuh. Justeru itu, pengambilan ubat-ubatan bagi mencegah cirit-birit harus mendapat nasihat doktor dan ahli farmasi.

“Pesakit turut disarankan supaya tidak mengambil makanan pejal dan pedas selama beberapa hari,” ujarnya.

Katanya, dalam keadaan sedemikian, tubuh perlu mendapatkan cecair yang mencukupi sama ada dengan meminum air, sup atau makan buah-buahan.

Namun, jika tidak mampu, pesakit perlu ke pusat kesihatan untuk mendapatkan rawatan titisan intravena.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Kementerian Kesihatan di samping jabatan atau unit kesihatan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu proaktif serta meningkatkan pemeriksaan menyeluruh di semua premis makanan termasuk kantin sekolah.

Kompaun

Katanya, pihak berkenaan perlu memastikan pengendali premis makanan memenuhi syarat dan peraturan bawah Akta Makanan 1983.

“Pemeriksaan kerap dan kompaun serta-merta akan membantu meningkatkan kebersihan premis makanan di seluruh negara.

“Usah diteruskan amalan lama iaitu pemeriksaan hanya dibuat sekali-sekala atau apabila terdapatnya kes keracunan dan aduan pelanggan.

“PBT perlu mengenakan hukuman berat ke atas peniaga pasar basah dan pemilik pasar mini, pasar raya serta pasar raya besar yang menjual makanan tidak selamat atau tercemar,” tegasnya.

Sumber:- Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4dWIwXMyc
Hakcipta terpelihara/2017/04/07