Kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan penggunaan telefon bimbit ketika memandu walaupun sukar dibuktikan dari segi perundangan, namun ia tidak dinafikan ada berlaku.

Ia berpunca dari sikap manusia zaman moden yang sukar "berpisah" dengan peranti pintas itu yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Apatah lagi zaman sekarang ramai guna WhatsApp, maka mesej selalunya menderu-deru diterima tidak kira masa termasuk ketika memandu, terutama jika seseorang itu mempunyai banyak kumpulan perbualan aplikasi berkenaan.


Keadaan itulah menyebabkan mereka kadang-kala tak boleh menahan tangan daripada memeriksa telefon bimbit bila ada mesej masuk ketika memandu.

Bukan setakat memeriksa mesej, sesetengah pemandu mempunyai tabiat sambil memandu, masa itulah juga nak periksa status Facebook, WeChat dan lain-lain.

Mungkin mereka merasakan sudah cukup cekap untuk kawal stereng dan jalan tak sesak sangat ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Namun, hakikatnya bila-bila masa saja kemalangan boleh berlaku disebabkan kelekaan pemandu seperti ini. Bayangkan kalau disebabkan mahu memeriksa status Facebook rakan, ada nyawa mungkin manusia lain yang melayang.

Sepanjang tahun lalu, lebih 46 000 saman dikeluarkan oleh polis terhadap pemandu atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, peningkatan hampir 4,000 daripada 42 641 jumlah saman yang dikeluarkan pada 2015.

Perbuatan memandu sambil menggunakan telefon bimbit dianggap memandu secara berbahaya dan mereka yang berbuat demikian boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika didapati bersalah, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM 300. Jesteru, ubahlah sikap demi kebaikan bersama.

 

Sumber - http://www.bharian.com.my/node/258513