Musim perayaan datang lagi. Rakyat Malaysia terutama Muslim sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang hanya berbaki kurang dua minggu lagi. Namun, ada juga keluarga yang terpaksa menyambut perayaan pada tahun ini tanpa orang yang tersayang kerana maut dalam tragedi kemalangan.

Saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita kemalangan yang menyayat hati dan lebih memedihkan hati apabila kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan berat seperti lori, treler, dan juga bas. Masalah brek pada treler, kenderaan terbabas bukan lagi perkara baru bagi tahun ini sebagai contoh pada minggu lepas sebuah treler membawa muatan besi telah merempuh plaza tol Subang Jaya.

Pada awal tahun lepas juga, sebuah lori yang dikatakan mempunyai masalah brek telah merempuh beberapa buah kereta di bahu jalan sehingga mengakibatkan seorang bayi maut dalam nahas tersebut, malah terdapat juga kes sebuah lori hantu yang kerosakan brek yang diparkir di kawasan sekolah telah merempuh beberapa buah motor dan kenderaan lain yang mengakibatkan beberapa orang pelajar maut dalam kejadian tersebut.

 

Kes kemalangan paling terbaru di lebuhraya PLUS, sebuah treler yang dikatakan telah terbabas daripada lorong kanan telah merempuh beberapa buah kenderaan sehingga mengakibatkan seorang ibu dan bayinya meninggal dalam kemalangan tersebut. Persoalannya adakah treler tersebut telah menggunakan lorong paling kanan semasa kejadian itu berlaku?

Sepanjang pemerhatian penulis yang kerap juga menggunakan lebuhraya PLUS sememangnya terdapat beberapa kenderaan berat seperti treler, lori malah pengangkutan awam seperti bas yang menggunakan lorong paling kanan. Perkara ini jelas menyalahi undang-undang jalan raya malah terdapat beberapa papan tanda yang melarang kenderaan berat memasuki lorong paling kanan. Namun begitu, masih terdapat segelintir pemandu kenderaan berat yang mementingkan diri sendiri dengan memasuki lorong yang tidak sepatutnya dibenarkan.

Jika masalah brek pada kenderaan berat masih tidak dibendung lagi, tidak mustahil untuk berlakunya lagi siri rempuhan daripada kenderaan berat ini. Secara tidak langsung, kita sebagai pengguna jalan raya seolah-olah memperjudikan nyawa masing-masing terutama ketika bertemu dengan kenderaan berat di atas jalan raya. Impak rempuhan daripada kenderaan berat akan memberi kesan yang amat dahsyat kepada kenderaan yang dirempuhnya.

Walaubagaimanapun, agensi kerajaan yang berkaitan telah mengeluarkan kenyataan bahawa kenderaan berat dilarang masuk pada 2,3,9, dan 10 Julai kerana tarikh-tarikh tersebut merupakan waktu kemuncak orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bersempena musim perayaan. Diharap agensi-agensi kerajaan yang berkaitan turut membuat kajian untuk melanjutkan tempoh pengecualian kenderaan berat ini pada waktu kemuncak ketika orang ramai berpusu-pusu keluar ke tempat kerja dan juga pulang dari tempat kerja di jalan-jalan utama dan juga setiap lebuhraya utama di ibu negara yang sentiasa mengalami kesesakan lalu lintas terutama apabila terdapat kerosakan pada kenderaan berat.

Jika merujuk pada negara Australia, mereka mempunyai satu set undang-undang untuk kenderaan berat di bawah Undang-undang Kenderaan Berat Negara (Heavy Vehicle National Law) yang ditadbir oleh Regulator Kenderaan Berat Negara (National Heavy Vehicle Regulator). Salah satu usaha mereka ialah untuk memantau tahap keselamatan khusus untuk kenderaan berat.

Akhir kata, pemilik-pemilik kenderaan berat perlulah menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin dalam memastikan barangan yang perlu dihantar ke tempat yang sepatutnya tiba dalam waktu yang ditetapkan. Pihak majikan juga perlu memastikan pekerjanya yang memandu kenderaan berat mendapatkan rehat yang secukupnya supaya pemanduannya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Diharapkan pihak-pihak yang terlibat tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Kepada pemandu kenderaan ringan dan motorsikal juga, diharap anda dapat memandu dengan penuh cermat dan berhemah dan ingatlah wajah-wajah orang yang tersayang di kampung halaman yang sedang menanti kepulangan anda. Anda juga dinasihatkan supaya jangan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong kenderaan lain. Biar lambat, asalkan selamat!

Nur Asyikin binti Aminuddin
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users)