Setiap tahun ribuan kanak-kanak yang terbunuh atau cedera akibat nahas boleh dikurangkan jika Sistem Sekatan Kanak-Kanak atau 'Child Restraint System' (CRS) digunakan dalam kenderaan.

Pada 2 Mei 2015 lalu, seorang kanak-kanak maut akibat tercampak dari kereta yang bertembung dengan kenderaan lain. Kes ini memberi impak kepada kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan CRS.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkenaan dengan status global mengenai keselamatan jalan raya, CRS dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan bayi 70 peratus manakala bagi kanak-kanak pula antara 54 peratus hingga 80 peratus.

 

Kajian global itu juga mendapati bahawa kurang daripada setengah negara yang mengambil bahagian dalam kajian ini mempunyai peraturan berkaitan CRS.

Walaupun negara berkenaan mempunyai peraturan mengenai CRS, namun tinjauan yang dilakukan mendapati penguatkuasaan untuk peraturan terbabit sangat rendah. Dilaporkan hanya 14 peratus daripada negara yang mempunyai peraturan penggunaan CRS untuk kanak-kanak, tahap penguatkuasaannya berada pada tahap 7 pada skala 0 hingga 10 (membabitkan negara berpendapatan sederhana dan tinggi).

Dilaksana Negara Maju

Di Malaysia, peraturan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang di bahagian hadapan dan belakang kereta sudah dilaksanakan, namun belum dikuatkuasakan kepada kanak-kanak. Pada tahun 2017 pula, penggunaan kerusi khas untuk kanak-kanak di dalam kenderaan akan diwajibkan.

Kebanyakan negara maju sudah menguatkuasakan penggunaan CRS. Contohnya, di United Kingdom, CRS adalah mandatori untuk kanak-kanak sehingga berusia 12 tahun.

Mengikut statistik, risiko kematian atau kecederaan serius jika berlaku kemalangan jalan raya, tahap risiko kanak-kanak yang tidak menggunakan CRS ialah pada 61 peratus manakala hanya 12 peratus kanak-kanak yang mengalami kecederaan sekiranya CRS digunakan.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, ramai ibu bapa di Malaysia yang mempunyai tabiat suka memegang atau memangku anak mereka ketika memandu.

Sikap ini amat berbahaya kerana jika terjadi perlanggaran atau kemalangan, kanak-kanak itu akan mengalami impak yang lebih kuat daripada ibu atau bapanya. Beliau juga menasihatkan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun perlu diletakkan di dalam tempat duduk khas kanak-kanak yang menghadap ke belakang untuk mengurangkan impak kecederaan kepada tulang spinal.

Satu ujian pelanggaran yang dikendalikan oleh MIROS (untuk ASEAN NCAP Star Rating) menunjukkan penumpang dewasa tidak akan mempunyai kekuatan untuk menghalang seorang bayi atau seorang kanak-kanak daripada tercampak ke hadapan apabila berlaku kemalangan pada sebarang kelajuan.

Walaupun tiada peraturan dibuat mengenai CRS pada masa ini yang memerlukan semua kanak-kanak diletakkan di barisan atau tempat duduk belakang kereta, van atau kenderaan, penggunaannya perlulah dilakukan secara yang betul, mesti menggunakan CRS yang betul sehingga kanak-kanak terbabit mencapai ketinggan 135 sentimeter atau berusia 12 tahun (mengikut mana-mana yang terlebih dahulu).

Dokumen Standard

Ada beberapa dokumen Malaysia Standards yang sudah dibangunkan oleh pakar dalam Jawatankuasa Standard Perindustrian Mengenai Kenderaan Jalan dan juga beberapa piawaian antarabangsa yang digunakan oleh beberapa negara dengan peraturan khas bagi CRS seperti MS 594:2010 Road vehicles — restraining devices for child occupants of power-driven vehicles -  specification (second revision), MS ISO 13215-3:2006 Road vehicles — reduction of misuse risk of child restraint systems part 3: prediction and assessment of misuse by misuse mode and effect analysis (mmea) (iso 13215-3:1999, idt), MS ISO 13215-2:2006 Road vehicles — reduction of misuse risk of child restraint systems part 2: requirements and test procedures for correct installation (panel method) (iso 13215-2:1999, idt), ISO 132161:1999/Amd.3:2006(en) Road -Anchorages in vehicles and to anchorages for child restraint system dan juga ISO 29061-1:2010 Road vehicles — Methods and criteria for usability evaluation of child restraint systems and their interface with vehicle anchorage systems Part 1: Vehicles and child restraint systems equipped with ISOFIX anchorages and attachments.

Pemakaian dokumen standard ini oleh pihak penguatkuasa dapat mengurangkan kadar kematian kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya.

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Selasa,  01 September 2015)