UN-Water, sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyelaras semua perkara yang berkaitan air tawar dan sanitasi, memilih ‘Air dan Pembangunan Mapan' sebagai tema bag Hari  Air Sedunia 2015. UN-Water menetapkan tujuh sektor yang perlu diberikan tumpuan pada tahun 2005 sehingga 2015.

Sektor berkenaan bertujuan mencapai pembangunan mapan yang berkaitan dengan isu air, iaitu dan segi kesihatan, alam semula jadi, proses pembangunan bandar, perindustrian, tenaga, makanan dan keadilan. Keperluan kepada perkhidmatan bekalan air dan sistem sanitasi adalah satu daripada hak asas pengguna. Air adalah  teras pembangunan mapan, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

 

Air penting untuk menjamin kesihatan  manusia dan membolehkan aktiviti seharian tidak terganggu. Namun, rakyat masih menghadapi masalah gangguan air dari semasa ke semasa. Antara faktor yang menyebabkan gangguan berkenaan ialah pencemaran sumber air yang menyebabkan kekurangan sumber air untuk dirawat serta pembocoran atau paip pecah.Sebagai contoh, Kira-kira 100,000 penduduk di 22 kawasan di Kajang mengalami gangguan bekalan air disebabkan hakisan tanah di sekitar Sungai Langat. Hakisan tanah berkenaan menutupi sebahagian besar sungai yang menyebabkan gangguan bekalan air terawat di Loji Rawatan Batu 11.

Pencemaran Amonia

Berdasarkan laporan media, kawasan yang mengalami hakisan tanah adalah tanah pelupusan sampah terbuka sejak tahun 2010. Keadaan ini amat membimbangkan kerana kawasan pelupusan sampah dipercayai terlalu dekat dengan sumber air sungai. Sungai Langat adalah sungai yang sering mengalami pencemaran amonia.Adakah itu satu daripada faktor yang menyebabkan pencemaran itu?

Mengikut kaJian daripada jurnal akademik sains pada tahun 2012, sebanyak 29 peratus tempat pelupusan sampah, sama ada terbuka atau tertutup, terletak kurang daripada 100 meter dari sumber air sungai utama di Selangor. Sebanyak 65 peratus tapak pelupusan pula dikawasan kurang daripada 500 meter dari kawasan perumahan. Ini bermaksud sampah air atau sisa sampah berkemungkinan besar akan mencemari sungai, yang seterusnya menyebabkan pencemaran sumber air, menutup atau menyebabkan dasar sungai menjadi cetek dan berlakunya banjir kilat ketika hujan lebat.

Pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan yang ketat di kawasan tadahan hujan, termasuk juga sungai bagi mengelakkan pencemaran sungai berlaku. Selain itu, hukuman yang berat juga perlu dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran.Lebih kurang 97 peratus bekalan air mentah di negara ini adalah dari sungai atau tasik. Air dan ekosistem yang sihat adalah amat penting untuk melindungi kawasan tadahan hujan dan memastikan semua pengguna dapat menikmati air yang bersih, berterusan dan selamat diminum.

Infrastruktur lengkap

Di samping itu, pembangunan mapan juga menekankan perkembangan dari segi kawasan bandar, iaitu bandar mapan perlu mempunyai infrastruktur air dan sistem kumbahan yang lengkap. la satu daripada cabaran bagi Malaysia. Di Malaysia, penduduk bandar tertumpu di enam bandar utama,iaitu Kuala Lumpur, Georgetown, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching. Peningkatan jumlah penduduk di bandar kian meningkat dari setahun ke setahun. Begitu juga peningkatan kadar penggunaan air terawat.

Pengurusan permintaan air dikatakan menjadi sistem yang menyokong kecekapan penggunaan air. Ini bertujuan mengekalkan aliran penting alam sekitar dan mengurangkan pergantungan kepada projek infrastruktur yang mahal. la perlu dimasukkan sebagai komponen penting dalam draf Pelan Tindakan Air Negara. Selain itu, penstrukturan semula di Selangor yang menjadi perbandaran termaju di Malaysia harus dilakukan dengan segera untuk menjamin kesinambungan bekalan air pada masa akan datang.

Pengurusan sumber air adalah penting untuk memastikan bekalan air yang berterusan kepada pengguna. Pemantauan paras air sungai, empangan air dan sumber alternatif, seperti kolam lombong sangat penting supaya gangguan bekalan air tidak berlaku. Selain itu, usaha untuk mengurangkan peratusan air tidak berhasil perlu diteruskan untuk mencapai sasaran peratusan 25 peratus pada tahun 2020.

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Rabu, 13 Mei 2015)