Bencana banjir besar, terutama yang melanda negeri-negeri pantai timur telah menjadi penutup tirai bagi tahun 2014. Malah melangkah ke tahun 2015, masalah banjir masih menghantui sebilangan keluarga, terutama penduduk Kuala Krai, Kelantan yang telah kehilangan rumah. Mereka terpaksa tinggal dalam khemah yang telah dipasang oleh para sukarelawan buat sementara waktu. Dalam keadaan banjir yang belum reda itu, sudah terdapat ramalan akan berlakunya gelombang yang ketiga.

Persoalannya, adakah Malaysia cukup bersedia dengan pengurusan bencana alam yang besar sebegini rupa? Berdasarkan pengalaman keluarga saya sendiri, pada malam 24 Disember 2014, air telah melimpah ke kawasan jalan raya di daerah Tanah Merah, Kelantan dalam masa beberapa jam sahaja.

Apabila air mula melimpah ke kawasan rumah, mereka telah menelefon talian kecemasan meminta bantuan untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. Namun begitu, setelah air meningkat ke paras dada orang dewasa, bantuan masih belum muncul, sedangkan mereka telah memberi jawapan untuk pergi ke tempat kejadian.

Mujur terdapat beberapa orang penduduk telah memberi bantuan kepada keluarga saya dengan menggunakan pelampung dan tali pengikat lembu kerana arus air banjir pada malam itu terlalu deras. Selepas kejadian berkenaan, saya telah menelefon balai polis daerah tersebut untuk melaporkan kejadian berkenaan. Namun, mereka telah memberikan jawapan bahawa pihak mereka tidak berani masuk ke kawasan tersebut kerana air terlalu deras. 
Dalam keadaan penduduk yang hanya bekerja kampung, masih mampu berfikir untuk menggunakan pelampung dan tali pengikat lembu, mengapa pula pihak bantuan yang mempunyai kelengkapan yang cukup dan terlatih dengan keadaan bencana, tidak boleh mencari alternatif lain untuk menyelamatkan mangsa banjir?

 

Sebenarnya banyak persoalan yang telah timbul selepas terjadinya banjir besar ini. Adakah garis panduan dalam menghadapi bencana alam telah digunakan sepenuhnya mengikut Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara Arahan 20 (Semakan Semula)?
Jika dirujuk kepada Dasar ini, terdapat beberapa agensi penyelamat yang ditugaskan untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam pengendalian bencana di tempat kejadian. Mungkin akibat kalut dengan bencana besar yang tidak disangka-sangka, menyebabkan mereka lupa segala prosedur yang perlu diikuti.
Media mendedahkan terdapat mangsa banjir yang kelaparan akibat terputusnya bekalan makanan. Saya sendiri telah bertanyakan hal tersebut kepada mangsa banjir di pusat pemindahan. Mereka mengakui masalah tersebut berlaku. Mereka terpaksa berkongsi biskut selama dua hari, malah terpaksa minum air tadahan hujan kerana tiada bekalan air mineral mahupun air paip. Pusat pemindahan juga bising dengan bunyi tangisan anak kecil yang kelaparan. 
Di manakah pihak bantuan yang sepatutnya menghulurkan barangan keperluan asas semasa hari kejadian bencana tersebut? Sanggupkah anda melihat anak kecil mahupun orang tua yang uzur berada dalam kelaparan? Kami sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang peralatan canggih yang boleh pergi ke tempat kejadian untuk membantu mangsa banjir berkenaan kalau dibandingkan dengan pihak bantuan yang mempunyai pelbagai peralatan canggih, malah terdapat pakar yang terlatih dalam mengendalikan bencana sebegini.

Pada pendapat saya, bencana banjir ini boleh dijadikan pengajaran untuk pihak-pihak yang berkaitan supaya lebih bersedia dengan bencana alam yang mungkin akan terjadi pada bila-bila masa. Rakyat Malaysia juga diharap tidak menyebarkan berita-berita palsu yang berkaitan dengan bencana kerana ia boleh memburukkan keadaan dan membuatkan rakyat Malaysia lebih kalut dengan berita-berita palsu tersebut. Saya berharap pihak SKMM boleh mengawal media sosial seperti facebook, twitter atau blog dengan lebih ketat kerana kebanyakan berita palsu dipercayai datang daripada sumber berkenaan. 
Pada masa ini, Organisasi Standard Antarabangsa (ISO) mempunyai dokumen standard dalam menangani isu bencana iaitu ISO 22320:2011, Societal security-

Emergency management- Requirements for incident response. Dengan adanya prosedur standard berkenaan, mungkin boleh mengurangkan risiko bahaya dan kerosakan dan menyelamatkan nyawa. Ia juga dapat memastikan barangan keperluan asas seperti bekalan makanan dan air, elektrik tidak terputus. 
Kerajaan Malaysia mungkin boleh meneliti dokumen standard berkenaan kerana Malaysia sering terdedah dengan bencana alam yang tidak terjangka. Dalam masa yang sama, punca-punca yang menyebabkan bencana alam, seperti penggondolan tanah, kemusnahan hutan, aktiviti pembalakan dan juga pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit perlu dihentikan. Saya amat berharap agar pihak yang berkaitan dapat bersama-sama duduk berbincang agar keadaan `kalut’ semasa banjir besar yang berlaku baru-baru ini tidak akan berulang lagi. Sekarang bukannya lagi masa untuk `Enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.’