Kes perkahwinan kanak-kanak di bawah umur, yang kemudiannya dilarikan oleh suaminya ke Batu Caves, sebagaimana yang disiarkan dalam media massa beberapa minggu lalu, menimbulkan beberapa isu untuk dibincangkan.

Kanak-kanak tersebut, Siti Nur Zubaidah yang berusia 10 tahun, telah dinikahkan di sebuah surau di Machang pada 20 Februari dengan seorang lelaki bernama Shamsuddin Ajaib, 41 tahun. Memang berdasarkan hukum syarak, pernikahan seumpama itu adalah sah.

Tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak perempuan yang telah baligh dan lebih matang pemikirannya berbanding rakan-rakan sebayanya untuk berkahwin. Lebih penting lagi apabila semua syarat dan keperluan perkahwinan itu mematuhi hukum syarak dan undang-undang.

Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), secara jelas menyatakan bahawa, sebarang perkahwinan tidak akan dilakukan apabila ada antara lelaki yang berumur bawah 18 tahun atau perempuan yang berumur bawah 16 tahun KECUALI dengan keizinan bertulis Kadi Syariah dalam keadaan tertentu. Peruntukan yang sama juga dinyatakan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 Kelantan, Seksyen 8, Bahagian II.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai kes lain yang turut melibatkan kanak-kanak. Antaranya kes rogol, buang anak, penderaan dan sebagainya. Terdapat pihak yang berpendapat bahawa kes dera yang telah dilaporkan hanya mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dera yang sebenarnya berlaku. Ada juga kes penderaan yang sehingga menyebabkan kematian seperti adik Safiyah dan adik Hareswara.

Kes-kes yang berlaku ke atas kanak-kanak ini menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah kanak-kanak di Malaysia dilindungi? Bagaimana pula aspek penguatkuasaan? Adakah wujud perlindungan ke atas kanak-kanak sebagaimana peruntukan undang-undang sedia ada?.

Seolah-oleh seperti penularan wabak, hampir setiap hari media massa menyiarkan tentang kes pembuangan kanak-kanak. Adakah mereka yang terbabit dengan kes pembuangan kanak-kanak ini tidak mempunyai akal atau perasaan?

Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Kanak-Kanak pada 1995. Akta Kanak-Kanak pula telah digubal dan diluluskan pada tahun 2001. Selain itu, Malaysia juga mempunyai undang-undang perlindungan kanak-kanak melalui Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Namun persoalannya, walaupun terdapat akta dan peraturan ini, tetapi siapakah pihak-pihak yang bertanggunjawab melaksanakannya?

Tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak Negara amat wajar sekali. Semua pihak yang berkepentingan amat berminat untuk mengetahui sejauh mana pelan tersebut akan dilaksanakan. Begitu juga beberapa institusi dan agensi juga disenaraikan bagi memastikan pelan ini berjaya dilaksanakan.

Apa yang lebih penting ialah kesedaran masyarakat sendiri terhadap perlindungan kanak-kanak. Sekiranya terdapat kes pengabaian kanak-kanak di sekeliling mereka, maka mereka hendaklah melaporkannya dengan segera kepada pihak berwajib.

Perbincangan yang melibatkan semua pihak termasuklah kementerian, ketua-ketua agama, polis, ahli akademik, NGO, pemimpin masyarakat dan individu haruslah diadakan dalam memupuk kesedaran ini. Program-program yang berkaitan turut diadakan di sekolah-sekolah bagi menyediakan generasi masa depan ini tentang hak mereka di samping menyemai kesedaran keperluan untuk menghormati hak setiap individu yang lain. Kesedaran sahaja tidak bermakna jika tidak diikuti dengan tindakan.

Tepuk dada tanya selera. Adakah kita akan masih bersikap tidak peduli, lepas tangan dan menafikan apa yang berlaku?


Nor Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia

31 Mac 2010