27 Januari 2010 - Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Tenaga Masa Depan di Abu Dhabi. Salah satu agenda beliau adalah untuk menyaksikan perjanjian kerjasama antara MASDAR dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk melaksanakan projek dan melabur dalam teknologi bersih di Malaysia. Perjanjian tersebut juga memberikan peluang kepada 1MDB meneroka kemungkinan membangunkan bandar raya bebas karbon yang pertama di Malaysia.

 

MASDAR merupakan satu projek di Abu Dhabi, UAE, oleh Mubadala Development Company. Teras projek tersebut adalah pembinaan bandar raya yang terancang bebas karbon dan sisa sifar. Projek bandaraya ini yang direka oleh syarikat arkitek Foster and Partners dari United Kingdom berasaskan penggunaan tenaga solar (atau suria) dan sumber tenaga lain yang boleh diperbaharui dalam ekologi karbon dan sisa sifar (zero carbon and zero waste) yang mampan.MASDAR telah dipilih sebagai lokasi ibu pejabat IRENA atau Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (International Renewable Energy Agency). Projek pembinaan bandar karbon sifar atau bebas karbon ini dilaporkan menelan belanja hampir AS$22 bilion dan mungkin mengambil masa selama 8 tahun untuk disiapkan. MASDAR boleh menampung 45,000 hingga 50,000 penduduk dan 1500 premis perniagaan (termasuk industri pembuatan) berkaitan teknologi bersih dan pembuatan produk mesra alam.

Walaupun ramai yang menunggu tarikh siap pembinaan MASDAR dan mengalu-alukan konsep Bandar raya bebas karbon dan sisa sifar ini,  tetapi ramai juga menyuarakan pendapat bahawa MASDAR akan menjadi satu projek yang tidak boleh diulang. Adakah lebih murah membina satu bandar karbon sifar yang baru berbanding dengan mengubah suai bandar-bandar yang sedia ada supaya lebih mesra alam? Apakah Malaysia mampu membiayai projek kos tinggi seperti MASDAR yang akan menelan belanja AS$22 bilion? 

Setelah pulang dari Copenhagen pada bulan Disember tahun lalu, Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa Malaysia akan menurunkan pengeluaran karbon sebanyak 40% berbanding tahun 2005 asalkan dana yang mencukupi (sebanyak AS$800 bilion) daripada negara-negara maju disediakan untuk negara-negara membangun dan melalui mekanisme pembangunan bersih atau Clean Development Mechanism (CDM). 

Persoalan sekarang adalah apakah strategi pembangunan kerajaan Malaysia untuk mencapai pengurangan pengeluaran karbon. Adakah kerajaan telah mengenal pasti strategi dan ‘roadmap’ yang jelas supaya Malaysia menuju ke arah pembangunan lestari termasuk pengurangan pengeluaran karbon sebanyak 40% tersebut di atas? Bagaimanakah projek pembangunan bandar bebas karbon seperti MASDAR memenuhi keperluan strategi pembangunan lestari dan roadmap teknologi hijau (jika ada)?

Adakah semua pihak berkepentingan mengetahui peranan mereka dalam proses negara memenuhi komitmen pengurangan pengeluaran karbon tersebut? Apakah mekanisme yang akan dipersetujui negara-negara maju dalam menyumbang kepada dana mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim sebanyak AS$800 bilion ataupun AS$1.5 trilion untuk negara-negara membangun? Adakah peruntukan dana tersebut akan menjadi perjanjian dua hala antara satu negara maju dengan negara membangun yang lain? Bilakah dana tersebut akan wujud untuk membantu negara-negara membangun?

Kegagalan di Copenhagen pada tahun 2009 telah menyebabkan berlakunya kelewatan yang serius dalam proses pengurangan  pengeluaran karbon kepada tahap kurang daripada 350ppm gas karbon dioksida di atmosfera dan menghadkan pemanasan global tidak melebihi 2 darjah celcius. 

Kami ingin mengingatkan kembali memori Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992, apabila ketua UNEP Maurice Strong telah menyatakan bahawa, ”Inilah peluang terakhir menentukan nasib bumi. Jika tidak ia akan terlambat”. Hampir 20 tahun kemudian, perjumpaan di Copenhagen juga dikatakan sebagai peluang akhir menyelamatkan nasib manusia di bumi. Tetapi Copenhagen tidak mencapai kejayaan seperti di Rio. 

Salah satu faktor penting yang menjayakan perjumpaan di Rio adalah penglibatan signifikan semua pihak berkepentingan dan dalam sejarah persidangan PBB, telah melibatkan badan-badan bukan kerajaan secara intensif. Hasilnya adalah persetujuan sebulat suara untuk mementerai Agenda 21.

Dengan kegagalan untuk mencapai perjanjian yang mengikat semua pihak melalui undang-undang di Copenhagen pada tahun 2009, adalah sukar untuk mendapatkan komitmen negara-negara maju memperuntukkan dana yang diminta oleh Perdana Menteri Malaysia. Jumlah tersebut telah lama diminta oleh negara-negara membangun yang lain. Laporan Lord Stern pada tahun 2006 dan kajian ekonomi perubahan iklim di rantau Asia Tenggara oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) pada bulan April tahun 2009 juga telah menggariskan secara terperinci keperluan dana mitigasi dan penyesuaian (adaptation) perubahan iklim.

Ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menunjukkan bahawa mereka tidak serius dalam menangani masalah perubahan iklim walaupun bukti-bukti sains telah dibentangkan oleh [*]IPCC kepada [†]UNFCCC, bahawa bumi memang mengalami perubahan iklim dan pemanasan global.

Persidangan di Rio pada tahun 1992 adalah salah satu persidangan PBB yang paling berjaya kerana ia telah menerima hakikat bahawa alam sekitar sedang mengalami masalah yang amat serius. Begitu juga manusia dan kehidupan-kehidupan lain di dunia turut mengalami risiko kepupusan. Di persidangan tersebut ahli-ahli persidangan juga telah mengenal pasti bahawa kemiskinan merupakan satu masalah kemanusiaan yang perlu diatasi secepat mungkin jika masalah alam sekitar ingin ditangani. Maka lahirlah Agenda 21 dan langkah-langkah menggalakkan pengeluaran dan penggunaan lestari (Sustainable Production and Consumption – SPaC).

Malangnya persidangan Rio + 10 di Johannesburg pada tahun 2002 dianggap oleh ramai pihak sebagai satu kegagalan dalam mencapai matlamat pembangunan lestari dan memberi kesinambungan untuk perlaksanaan Agenda 21 dan SPaC. Kini lebih daripada 20 tahun selepas persidangan Rio, Agenda 21, SPaC (termasuk proses Marrakech) PBB masih gagal mencapai matlamatnya. Tujuan kami membangkitkan tentang Persidangan di Rio untuk menunjukkan bahawa proses PBB tidak berkesan bagi menangani masalah alam sekitar. Kebanyakan wakil negara ke PBB adalah mereka yang dipilih setiap 5 tahun selepas pilihan raya. Ini mengancam kesinambungan proses menangani masalah global seperti perubahan iklim, perdagangan antarabangsa, pembasmian kemiskinan dan pertanian. 

Tanggapan tersebut di atas disokong oleh ketiadaan perjanjian di Copenhagen pada bulan Disember yang lepas. PBB telah dan akan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan tanpa sebarang komitmen yang kuat daripada negara-negara membangun dan negara-negara maju. Jika keadaan kekal sedemikian, apakah akan berlaku kepada komitmen Perdana Menteri untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 40% tersebut? Komitmen tersebut mempunyai kriteria iaitu selagi ada sumbangan dana daripada negara maju! Tanpa sumbangan tersebut adakah Malaysia tidak berupaya mencapai matlamat pengurangan karbon 40%? 

Apakah fungsi syarikat seperti 1MDB Berhad dan kemudahan-kemudahan lain untuk menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI). Adakah tujuan hanya untuk mendapatkan pelaburan asing semata-mata tanpa mempertimbangkan sama ada ia dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat serta alam sekitar yang bersih dan selamat untuk generasi kini dan masa depan? Adakah sebuah bandar baru yang menelan berbilion AS$ perlu untuk Malaysia mencapai pengurangan karbon 40% dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati prasarana mesra alam seperti sistem pengangkutan awam yang bersih dan cekap untuk menggerakkan manusia. 

Adakah bandar baru yang berbilion Ringgit Malaysia akan mengatasi masalah kegawatan inovasi tempatan dalam bidang teknologi hijau selain daripada tenaga solar? Adakah pembinaan bandar baru karbon sifar merupakan jawapan untuk mengurangkan kerbergantungan Malaysia kepada makanan import yang bernilai hampir RM24 billion? Apakah aktiviti-aktiviti menggalakkan pelaburan dalam industri pertanian untuk makanan dan inovasi tempatan untuk menggalakkan pertanian lestari dan cekap untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap makanan yang diimport? 

Kebergantungan terhadap CDM di bawah Protokol Kyoto juga menimbulkan pelbagai isu sumbangan dana. Tiada persetujuan dicapai di Denmark tahun lalu tentang nasib Protokol tersebut. Oleh kerana itu apakah nasib mekanisme (CDM) tersebut? Permintaan delegasi Malaysia ke persidangan UNFCCC (daripada agensi-agensi kerajaan) seperti keperluan ketelusan dalam pembiayaian dan sumbangan dana dan lain-lain perlu dilaksanakan di Malaysia terlebih dahulu oleh agensi-agensi tersebut. Sebelum setiap persidangan di UNFCCC, tiada rundingan dijalankan dengan pihak-pihak berkepentingan (industri, badan bukan kerajaan dalam bidang alam sekitar, persatuan pengguna, ahli akademik dan institusi kajian). Lebih-lebih lagi delegasi Malaysia tidak disertai oleh badan-badan bukan kerajaaan – alam sekitar, pengguna dan industri. 

Kita perlu faham bahawa perubahan iklim dan pemanasan global berlaku kerana penghasilan karbon dan emisi (emissions) melalui pelbagai aktiviti ekonomi. Maka sebarang langkah mitigasi dan penyesuaian (adaptation) akan memberikan kesan terhadap cara pengeluaran dan penggunaan produk dan perkhidmatan di seluruh dunia. 

Langkah-langkah mitigasi dan penyesuaian memang menelan belanja berbilion ringgit. Tidak dapat dinafikan bahawa negara-negara maju (atau dalam senarai Annex 1 Protokol Kyoto) harus menyumbang kepada dana mitigasi dan penyesuaian di negara-negara membangun dan miskin. Terdapat pelbagai cadangan kaedah pembiayaan langkah mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim. 

Salah satu cadangan adalah menyalurkan dana tersebut dalam bentuk peruntukan bantuan luar negara (overseas development assistance – ODA). Menurut Organisasi untuk Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (Organisation for Economic Coperation dan Development – OECD), jumlah pelaburan persendirian untuk mitigasi pengeluaran gas rumah hijau adalah antara enam hingga sepuluh kali ganda lebih daripada jumlah pembiayaan awam yang diperuntukkan khas untuk tujuan yang sama. 

OECD memberi saranan untuk menggunakan FDI bagi menyumbang kepada dana mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim. Menurut OECD, FDI di negara-negara membangun berjumlah AS$259 bilion antara tahun 2003 hingga 2005. Walau bagaimanapun lebih daripada separuh pelaburan tersebut tidak ditujukan untuk mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim. 

Salah satu cara yang telus untuk menyalurkan dana untuk mitigasi dan penyesuaian adalah berpandukan kepada Pelan Tindakan Penyesuaian Nasional atau National Adaptation Plans of Action - NAPAs sesuatu negara. NAPAs di bawah UNFCCC adalah pelan untuk membantu negara-negara membangun untuk mengenal pasti keperluan penyesuaian perubahan iklim negara dan mengintegrasikan keperluan tersebut dalam perancangan nasional. Peruntukan dana pembangunan dari luar negara dan pelaburan langsung asing harus berpandukan NAPAs sesuatu negara. 

Apakah pelan penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim untuk Malaysia? Adakah keperluan tersebut telah dikenal pasti dan pelan tindakan telah dibangunkan? Apakah fungsi agensi-agensi kerajaan dan adakah dasar-dasar kerajaan dibuat dengan mempertimbangkan keperluan mitigasi, penyesuaian alam sekitar, kesan ekonomi dan sosial? Adakah maklumat pelan tindakan mitigasi dan penyesuaian diumumkan kepada semua lapisan masyarakat? Apakah peruntukan undang-undang dan peraturan bagi membantu kerajaan melaksanakan pelan tindakan mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim?

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) telah menyertai aktiviti-aktiviti badan bukan kerajaan sempena persidangan COP 15 di Copenhagen pada bulan Disember tahun lalu[‡]. 

Delegasi Malaysia menyahut proses yang telus dan keperluan untuk “accountability”, “governance” and “equitability” dalam pengurusan pembiayaan peruntukan untuk mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim oleh negara maju. Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia juga menyahut proses dan ciri-ciri yang sama daripada agensi-agensi kerajaan yang memberikan nasihat kepada pucuk pimpinan negara, terutama sekali kepada YAB Perdana Menteri. 

Kami meminta supaya kerajaan mengkaji semula semua dasar dan menyelaraskan matlamat dasar-dasar tersebut dengan keperluan mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim sambil mempertimbangkan isu-isu sosial dan ekonomi. Isu-isu asas seperti apakah ciri-ciri yang melayakkan sesuatu teknologi dikatakan sebagai teknologi hijau dan definisi teknologi hijau harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum mengorak langkah membangunkan strategi dan hala tuju Malaysia dalam era perubahan iklim. 

Kita tidak harus menunggu sumbangan dana daripada negara-negara maju untuk mengurangkan pengeluaran karbon. Peluang-peluang keemasan untuk tujuan tersebut telah sedia ada. Ini termasuklah menggunakan tenaga secara cekap (energy efficiency) oleh pengguna dan industri. Ini merupakan langkah-langkah awal yang boleh diambil untuk mengurangkan pengeluaran karbon dengan signifikan. Satu lagi peluang adalah dengan mewajibkan skim GBI (Indeks Bangunan Hijau – Green Building Index) untuk semua projek pembinaan – rumah ataupun premis komersial yang baru. 

Agensi-agensi kerajaan juga boleh membangunkan skim insentif ekonomi bagi industri kecil dan sederhana untuk menggalakkan penjimatan penggunaan tenaga dan air. Ia boleh dilaksanakan melalui geran dan bantuan teknikal industri (ITAF) oleh SME Corp. Malaysia. 

Prasarana sistem pengangkutan awam juga memerlukan perancangan yang teliti dan serius. Peningkatan bilangan kereta persendirian sudah mencekik sistem jalan raya di Malaysia dan menyebabkan kehilangan masa kerja yang sangat bernilai – terutamanya dalam kegawatan ekonomi. Penambahan bilangan bas dan kekerapan perkhidmatan sahaja tidak dapat mengatasi masalah sektor pengangkutan awam. Tindakan mendesak pengguna kereta persendirian menggunakan pengangkutan awam (melalui pendekatan ekonomi dan kesenangan) ,penyediaan ruang jalan khas untuk bas dan pengangkutan awam sahaja (sepanjang perjalanan), serta kos penggunaan pengangkutan awam yang kompetitif dapat menyelesaikan masalah sistem pengangkutan awam untuk jangkamasa panjang. 

Pemandu-pemandu bas terlatih dengan pemberian pelbagai insentif seperti insurans, latihan dan kemudahan penjagaan kesihatan akan menarik minat ramai pihak yang mempunyai kelayakan yang bersesuaian untuk  menjawat jawatan sebagai pemandu bas. 

Aspek-aspek sosio-ekonomi seperti keselamatan dan jaminan bekalan makanan pula memerlukan keluaran makanan tempatan dan mengurangkan (meminimumkan) kebergantungan terhadap makanan import. Perubahan iklim telah mulai menggugat kesinambungan hasil pertanian terutamanya di delta Sungai Mekong (Asia Tenggara), Ganges (di India), Brahmaputra (di Bangladesh) dan sungai-sungai besar seperti Hwang Ho dan Yang-Tze Kiang (di negara China). Perubahan iklim juga mengancam sektor penternakan dan pertanian di Australia. Malaysia mengimport beras daripada kebanyakan kawasan / negara tersebut dan produk tenusu dan daging dari Australia dan New Zealand. Apakah status jaminan bekalan makanan kita di Malaysia untuk tempoh 10, 20 ataupun 50 tahun akan datang?

Kita juga perlu melihat kesan perundangan berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim negara-negara lain ke atas industri eksport Malaysia. Kesatuan Eropah telah menambah senarai bahan kimia dalam REACH baru-baru ini untuk meminimumkan kesan bahan kimia berbahaya terhadap alam sekitar. Amerika Syarikat (AS) pula dalam proses meluluskan undang-undang berkaitan penggunaan tenaga dan jaminan bekalan tenaga. Salah satu unsur perundangan AS adalah pelabelan kecekapan tenaga. Apakah kesan perundangan tersebut terhadap industri elektrik dan elektronik di Malaysia?

Nampaknya asas ekonomi negara perlu berganjak kepada menyahut cabaran revolusi hijau. Jelas sekali sumber manusia, sistem pendidikan sekolah dan pengajian tinggi harus diselaraskan untuk menggalakkan inovasi hijau dan memenuhi keperluan ”pekerjaan hijau” (green jobs). Kita perlu mencapai Generasi Y – belia sekarang yang merupakan pemimpin masa depan dan mendidik mereka ke arah memenuhi keperluan pembangunan lestari dan juga tanggungjawab sosial.

Datuk Marimuthu Nadason
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users)