RAWANG, 24 MAC - Penduduk Taman Garing, di Rawang, Selangor yang sering mengalami banjir semenjak bermulanya sebuah projek pembangunan sebuah anak syarikat Hong Leong Group dijanjikan penyelesaian sementara.

Dalam mesyuarat telah diadakan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) di sini pada hari ini, yang turut disertai oleh Encik Piarapakaran, Ketua Pegawai Operasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), wakil persatuan penduduk Taman Garing,  syarikat pemaju, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jurutera Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang


Dalam perbincangan tersebut, Pengarah Bahagian Pengurusan Aduan BPA, Encik Aziz Ismail diberikan penerangan tentang masalah banjir oleh wakil penduduk, Dr Manonmony dan Encik Chin. Menurut kedua-dua wakil penduduk itu, kejadian banjur telah mulai berlaku pada tahun 2003, selepas projek pembangunan perumahan Emerald bermula.

Dalam pada itu, Encik Piarapakaran telah menerangkan tentang laporan yang disediakan oleh FOMCA tentang kejadian banjir itu pada tahun 2008, dan laporan susulan pada tahun 2009.

Pemaju Projek Perumahan Emerald yang didakwa menyebabkan banjir berlaku, yang kali pertama menghadiri sesi perbincangan ini, menafikan kejadian banjir disebabkan oleh projek yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Sebaliknya disebabkan oleh beberapa projek pembangunan lain di sekitar Taman Garing. Namun wakil syarikat pemaju itu gagal menunjukkan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan beliau.

Jurutera Daerah Gombak telah mencadangkan supaya kolam takungan yang terdapat di hadapan Taman Garing perlu dinaiktarafkan kepada kolam basah, sementara tebing-tebing kolam ini juga perlu dinaikkan lebih tinggi.

Perbincangan akhirnya telah bersetuju untuk melaksana pelan sementara yang dicadangkan oleh Jurutera Daerah Gombak bagi tempoh dua minggu hingga sebulan.

Sementara itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran, Hong Leong dan Majlis Perbandaran Selayang akan merancang penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir itu.

Biarpun berpuas hati dengan keputusan mesyuarat tersebut, namun wakil penduduk masih berasa sangsi tentang perlaksanaannya kerana janji yang sama telah diberikan semenjak tahun 2003.

Mesyuarat yang diadakan pada ini merupakan hasil daripada usaha yang dilakukan oleh FOMCA selepas menghantar beberapa e-mel kepada BPA dan kerajaan negeri.

Piarapakaran
Ketua Pegawai Operasi
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)