Sisa elektronik kini merupakan satu jenis sisa pembuangan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Menurut United Nations Environment Programme, sebanyak 20-50 juta tan metrik dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun dan kadar peningkatan sisa elektronik ini adalah sebanyak lima peratus di seluruh dunia.

Negara- negara  yang sedang membangun seperti Malaysia juga dijangkakan akan mempunyai peningkatan dalam sisa elektronik menjelang tahun 2020. Sesetengah negara- negara Eropah pula telah mengeluarkan larangan untuk membuang sisa elektronik di tempat timbunan sampah.

 

Negara- negara tersebut juga telah mengeluarkan satu protokol untuk cara mengendalikan sisa elektrik dan elektronik di negara mereka dan juga telah menyeru rakyat di serantau Eropah untuk mengurangkan sisa elektronik di negara masing masing.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia merupakan ahli Basel Convention di mana ia mengetatkan undang- undang dan aktiviti mengeksport sisa yang berbahaya dari negara- negara maju ke negara- negara membangun.

Walau bagaimanapun, kita sebagai seorang pengguna harus fikir bagaimanakah cara untuk mengendalikan sisa elektronik contohnya seperti bateri, pengecas telefon bimbit, dan bahagian komputer yang tidak lagi digunakan? Dimanakah anda membuang sisa- sisa elektronik ini?

Jawapan yang paling lazim ialah tong sampah di rumah. Kini di Malaysia, ramai yang masih tidak mempunyai tabiat untuk mengasingkan sampah mereka di rumah  sebagai contoh, mengasingkan plastik, gelas, kaca, kertas,aluminium dan sisa makanan.

Apabila kita membuang sisa elektronik ini secara sewenang- wenangnya, bahan kimia dan logam berat dalam sisa elektonik ini akan meresap masuk ke dalam tanah yang akan mencemarkan alam sekitar terutamanya sumber air kita. Natijahnya, kita sebagai penggunalah yang akan merasai kesan pencemaran ini dimana air yang diminum tidak lagi bersih dimana ia akan membawa kemudaratan kepada diri sendiri.

Sehingga kini, negara kita masih lagi belum mempunyai satu sistem kitar semula yang efektif dan lengkap. Perkara ini menyebabkan seseorang pengguna tidak dapat mengamalkan amalan kitar semula dengan baik. Selain sikap pengguna itu sendiri, perkara lain yang mampu membolehkan amalan pembuangan sampah, sisa elektronik dan amalan kitar semula ini amalkan dengan baik adalah melalui penguatkuasaan yang baik.

Sekiranya kita mempunyai satu peraturan yang mewajibkan pengguna mengasingkan sisa pembuangan mereka, ini akan dapat membantu mengurangkan timbunan sampah merata- rata dan kitar semula boleh dijalankan dengan lebih teratur dan sistematik. Malaysia mempunyai satu peraturan untuk sisa elektronik yang dikategorikan di bawah kod SW 110, First Schedule, Environmental Quality ( Schedule Wastes ) Regulations 2005.

Tetapi, akta ini tidak menguatkuasakan sisa pembuangan di rumah dan pengguna. Pihak kerajaan juga telah mengadakan banyak kempen tetapi kempen- kempen tersebut tidak dapat mencapai objektifnya dalam mengubah sikap pengguna untuk mengamalkam kitar semula dan penggunaan lestari. Kadar kitar semula di negara Malaysia hanyalah lima peratus dan ia amatlah kurang jika dibandingkan dengan negara Thailand dimana kadar kitar semulanya adalah 50% ,negara Singapura,56% dan Filipina 12%.
Perlu adanya satu cara yang efektif bagi menggalakkan amalan kitar semula dan pengurangan sisa elektronik di kalangan pengguna supaya mereka lebih bertanggungjawab.

Selain pengguna, pihak industri dan kerajaan harus mengalakkan satu standard untuk menyelaraskan penggunaan elektrik dan elektronik. Maksudnya, komponen- komponen, aksesori, dan bahan gantian bagi pelbagai barangan elektronik boleh diseragamkan supaya ianya boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai contoh, satu alat kawalan jauh yang digunakan oleh pengguna di rumah untuk menonton televisyen boleh digunakan juga untuk memainkan alat- alat elektronik yang lain seperti pemain cakera, radio dan sebagainya.

Ini akan mengurangkan seseorang pengguna itu untuk membeli pelbagai alat kawalan jauh untuk setiap alat elektronik yang digunakan. Satu pengecas boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit dan juga komputer riba.  Ini akan membantu pengguna dari berbelanja lebih, mengurangkan kesusahan membawa alat – alat ini kemana sahaja dan mengurangkan sisa elektronik.

Adalah penting bagi semua pihak- pihak berkepentingan untuk menganding bahu bagi mengurangkan sisa elektronik yang semakin meningkat dan hanya membawa kepada pembaziran. Pihak industri juga boleh berkecimpung dalam pengurangan sisa elektronik sebagai satu tangggungjawab sosial.

Sebagai seorang pengguna yang baik, kita harus mengubah diri kita dan mula untuk mengamalkan cara hidup yang lestari  dan bertanggungjawab kerana perubahan bermula dengan kita.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia