Kerajaan negeri Perak berharap dapat mengaut keuntungan melalui kunjungan pelancong yang meningkat di negeri tersebut, khususnya di Bukit Larut.

Namun begitu, harapan untuk mengaut keuntungan itu telah menyebabkan banyak kawasan tadahan air di Malaysia yang telah dinodai. Lambakan pelancongan ini menyebabkan banyak kawasan pelancongan yang telah rosak dan tercemar.  Mass tourism atau pelancongan lambak telah menyebabkan kebanyakan kawasan pelancongan ini telah mengalami kerosakan dan kian tercemar.

 


Menurut S. Piarapakaran, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), WECAM dan Forum Air Malaysia telah melakukan membuat pemantauan secara berterusan ke atas projek pembangunan di Bukit Larut semenjak tahun lalu. Kini WECAM sedang menyiapkan laporan pemantauan tersebut untuk diserahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Tambah beliau lagi, antara dapatan yang diperolehi daripada pemantauan tersebut ialah masalah hakisan, tanah runtuh, perubahan pengaliran air, aktiviti pembersihan hutan sekitar kawasan tadahan air dan pemusnahan bangunan bersejarah (warisan).

Piarapakaran juga menegaskan bahawa isu kawasan tadahan air mempunyai kaitan dengan tarif air. Apabila kualiti air semakin kurang disebabkan oleh keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri, sepatutnya kenaikan tarif tidak boleh dibenarkan. Dalam hal ini kerajaan negeri yang sepatutnya dipersalahkan. Rakyat perlu memastikan kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan betul dan melindungi bekalan air kepada rakyat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak memberikan sebarang ulasan ke atas projek ini berpandukan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment-EIA). Piarapakaran berkata, ”Bagaimana projek di kawasan Hutan Simpanan boleh berjalan tanpa EIA? JAS tidak boleh memberikan komen atau ulasan tanpa sebarang kajian terperinci.”

Isu Bukit Larut masih terus berlarutan, walaupun berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan kerajaan negeri. Malah ada yang menyamakan projek ini dengan Gunung Mat Cincang di Langkawi. Dalam hal ini, perbandingan tersebut adalah tidak tepat kerana  struktur tanah dan komposis hutan bagi kedua-dua projek adalah jauh berbeza.

Di Malaysia, keutamaan tidak diberikan kepada perwartaan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap. Banyak contoh seperti ini di setiap negeri dan akhirnya apabila kualiti air semakin teruk, tarif akan dinaikkan.

Layari www.bukitlarut.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu Bukit Larut (Maxwell Hill).

Piarapakaran Subramaniam
Persatuan Tenaga dan Air Malaysia (WECAM)