Ramai pengguna di Malaysia yang belum mempunyai kesedaran tentang pentingnya rawatan air sisa kumbahan yang mereka hasilkan. Sering kali mereka tidak mengendahkan tanggungjawab yang perlu dilakukan terutamanya perkhidmatan pembentungan tangki septik secara  individu.

Di Malaysia, dianggarkan seramai 1.2 juta pengguna (Sumber : MWIG, 2009) telah menggunakan perkhidmatan pembentungan tangki septik individu. Tangki septik individu (ITS) ini merupakan perkhidmatan pembentungan yang paling ringkas. Oleh sebab itu, pengguna lazimnya akan mengambil sikap tidak peduli untuk tidak melakukan pengenyahan enap cemar.


Bagi pengguna perkhidmatan pembentungan ITS, pengenyahan enap cemar bermaksud bahawa mereka mereka pelu mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan tangki septik individu dapat berfungsi dengan sempurna. Demikian menurut Cik Syarina Mohd Yusof, Pengurus, Forum Air Malaysia.

Tambah beliau lagi, sekiranya proses pengenyahan enap cemar itu tidak dilakukan, ia akan menyebabkan enap cemar itu tidak boleh mendak ke dalam tangki septik, dan seterusnya akan mengalir terus ke longkang atau saliran. Enap cemar ini kemudiannya akan bercampur dengan sumber air sehingga boleh menjejaskan kualiti air. Selain itu, kegagalan pengguna untuk melakukan pengenyahan enap cemar juga akan menyebabkan masalah kesihatan dan bau.

Cik Syarina seterusnya berkata, pengguna yang gagal mengenyahkan enap cemar sebenarnya telah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Jika disabit kesalahan, maka mereka boleh didenda sebanyak RM 50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, Cik Syarina menasihatkan agar  para pengguna, khususnya yang menggunakan perkhidmatan pembentungan tangki septik individu, yang merupakan 19% daripada pengguna perkhidmatan pembentungan di Malaysia (Sumber : MWIG, 2009),  supaya melakukan penyelenggaraan atau pengenyahan enap cemar secara berkala bagi memastikan air sisa kumbahan tidak mencemarkan sumber air. Pencemaran sumber air ini bukan hanya akan menjejaskan kualiti air tetapi memerlukan kos yang tinggi untuk merawatnya.

Syarina Mohd Yusof
Forum Air Malaysia
18 Mac 2010