FOMCA akan meneliti laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kilang Magnesium yang terletak di Taiping, Perak. Demikian menurut Datuk N. Marimuthu, Presiden FOMCA, ketika mengulas rungutan penduduk yang mendiami di kawasan persekitaran kilang tersebut, yang didakwa mengeluarkan bahan cemar yang berbahaya. Satu laporan akan dikeluarkan selepas penelitian EIA telah dilakukan.

Kilang magnesium tersebut, Commerce Venture Magnesium Sdn. Bhd, yang merupakan kilang yang pertama seumpama itu di Malaysia, terletak di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya 111, Taiping, seluas 26 hektar.  Majlis pecah tanah kilang tersebut telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali pada 26 Februari 2008.

Menurut Datuk Marimuthu lagi, kebimbangan penduduk adalah berasas kerana kedudukan kilang tersebut yang berdekatan dengan kawasan kediaman dan Pusat Latihan Teknologi Maju (Adtec), iaitu sebuah pusat latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. Kilang tersebut sepatutnya terletak jauh daripada kawasan berpenduduk kerana ia mengeluarkan bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

Antara bahan kimia tersebut ialah Dioxin, Furan, Hexaclorobenzene (HCB) dan Poly Chlorinated Biphenyls (PCB). Mereka yang terdedah kepada bahan kimia ini bakal menghadapi risiko kanser kerana bahan-bahan kimia ini akan berkumpul dalam badan dan memasuki badan melalui pernafasan, air dan bahan makanan.

Kerajaan sewajarnya mengadakan sesi perundingan dengan penduduk dan agensi yang berkaitan terlebih dahulu sebelum meluluskan projek yang berisiko tinggi, ujar Datuk Marimuthu lagi.

Datuk Marimuthu Nadason
Presiden FOMCA
12 Mac 2010