Sebarang perubahan yang berlaku kepada ekosistem di tanah tinggi akan menjejaskan ekosistem lain yang bergantung kepadanya di kawasan kaki tanah tinggi. Perubahan ini juga akan menyebabkan lebih banyak flora dan fauna kehilangan habitatnya. Pembangunan kawasan tanah tinggi sering dikaitkan dengan hakisan tanah dan tanah runtuh. Tambahan pula, ini akan mengakibatkan penambahan sedimen yang tinggi di hilir sungai dan seterusnya menyebabkan banjir berlaku.


Mengapa kita perlu memelihara kawasan tanah tinggi?

Tanah tinggi bagi kebanyakan negara merupakan sumber air. Anak-anak sungai akan menjadi sungai dan menjadi sumber air kepada satu kawasan berpendudukan yang besar. Kebanyakan empangan didirikan di kawasan tanah tinggi. Air yang diperoleh di kawasan ini biasanya lebih bersih daripada air dari sungai di kawasan hilir.

Industri perladangan membersihkan kawasan tanah tinggi yang besar untuk tujuan perladangan. Untuk mendapatkan lebih banyak kawasan penanaman, kawasan paya di sekeliling tanah tinggi akan dikeringkan melalui pengaliran air paya. Pengeringan seperti ini akan menyebabkan pengurangan aras air bawah tanah bagi kawasan tanah tinggi dan menyebabkan hasil yang kurang. Jika kita lihat kawasan perladangan dari Negeri Sembilan ke Johor, kita dapati wujudnya kesan daripada aktiviti ini. Adalah ini yang dikatakan Pembangunan Lestari?

Tanah tinggi yang dibangunkan senantiasa memerlukan perlindungan cerun tanah tinggi. Cerun-cerun menjadi lebih berat dan menakung banyak air dalam strukturnya. Tanpa adanya akar-akar pokok untuk memegang struktur ini ataupun saliran yang baik, cerun ini akan menyebabkan tanah runtuh. Insiden seperti ini semakin berleluasa pada masa kini.

Melihat kepada isu-isu berkaitan tanah tinggi yang kian meruncing, WECAM meminta agar Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan, Unit Perancang Ekonomi dan agensi-agensi kerajaan lain yang berkaitan untuk mewujudkan peraturan pembangunan tanah tinggi yang lebih ketat dan diikuti dengan perlaksanaan yang cekap. Peraturan ini juga perlu mengambil kira kelulusan daripada pihak-pihak berkepentingan yang mungkin mengalami kesan daripada  pembangunan ini.

Laporan Impak kepada Alam Sekitar yang Terperinci (Detailed Environment Impact Assessment-DEIA) mesti melihat kepada skop yang lebih luas sehingga ke kawasan hilir. Tanah tinggi adalah warisan kepelbagaian bio dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaganya. Masa depan di tangan anda. Layari www.bukitlarut.com.my untuk melihat karenah Kerajaan Negeri Perak yang ingin menodai Bukit Larut (Maxwell Hill), Taiping, Perak. Bukit ini merupakan kawasan tadahan yang mempunyai keluasan kawasan tadahan primer melebihi 20 kilometer persegi. Projek pembangunan yang dicadangkan juga tanpa melalui proses DEIA.

Adakah anda ingin membayar tarif air yang tinggi kerana kegagalan Kerajaan Negeri menjaga kawasan tadahan air?

PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
10 Mac 2010