Sejak kebelakangan ini, paras air di empangan-empangan utama telah dilaporkan merosot akibat daripada cuaca panas. Walaupun masih dalam keadaan terkawal, namun langkah penjimatan perlu dipertingkatkan oleh pengguna domestik dan industri. Demikian menurut Jurutera Eksekutif, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Cik Syarina Mohd Yusof.

Pengguna bukan sahaja perlu berjimat tetapi perlu menitikberatkan tentang kecekapan dalam penjimatan air. Ini bermaksud pengguna perlu bijak menggunakan atau mengitar semula air.

Beliau selanjutnya berkata, apabila berlakunya cuaca panas, penuaian air hujan juga tidak dapat dilakukan. Oleh itu pengguna perlu melakukan penjimatan dengan menggunakan semula air.

Umpamanya di rumah, air basuhan sayur-sayuran boleh digunakan semula untuk menyiram pokok bunga. Begitu juga air daripada mesin basuh boleh diguna semula untuk mencuci lantai.

Semua aktiviti ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber air terawat. Air jenis ini dikenali sebagai air kelabu dan tidak boleh digunakan untuk tujuan memasak, minuman dan kebersihan diri.

Beliau menasihati pengguna industri supaya pengitaran semula air sisa daripada proses pengilangan mereka. Sektor pembuatan biasanya menggunakan air semasa proses penyejukan dan pemprosesan produk. Selain dapat mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat, langkah mengitar semula air sisa dapat mengurangkan jumlah air sisa dan sekali gus meminimumkan kadar pencemaran terhadap sumber air mentah.

25 Februari 2010