GUA MUSANG: Kira-kira 6,000 Orang Asli dari lebih 40 kampung di pedalaman di daerah ini berdepan kemusnahan 50 tadahan air bukit sehingga menjejaskan kehidupan mereka sejak 15 tahun lalu.Kemusnahan itu didakwa akibat daripada aktiviti pembalakan, pembukaan ladang dan kebun sayur tidak terkawal tanpa mempedulikan masalah air bersih dihadapi golongan itu.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Galas, Mohd Syabuddin Hashim, berkata berdasarkan maklumat diterima, sebilangan besar tadahan air bukit yang musnah itu sukar dibaik pulih semula.Katanya, ini kerana, kawasan tadahan air bukit tiada lagi zon penampan bagi melindungi air daripada tercemar sehingga terbiar kering begitu sahaja.Beliau berkata, masalah itu tidak dapat dihalang kerana ia berada di bawah kuasa kerajaan negeri yang meluluskan kawasan untuk pembalakan dan pertanian.

“Penduduk di kampung terbabit juga sukar mencari kawasan baharu bagi mendapatkan sumber air bersih berikutan kemusnahan hutan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Warga Emas Orang Asli Uzur di Kampung Pasir Linggi, dekat sini, semalam.Mohd Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang mengakui penduduk Orang asli juga tidak boleh menggunakan sumber air sungai kerana kotor dan berselut kesan pembukaan ladang serta kebun sayur.Beliau berkata, kemusnahan kawasan tadahan air bukit itu semakin membimbangkan selain penduduk berdepan hakisan bukit.Katanya, masalah itu sudah lama dibangkitkan penduduk Orang Asli, tetapi tidak mendapat pembelaan kerajaan dari dulu sehingga sekarang.“Kita sebagai pemimpin turut simpati dengan nasib Orang Asli yang hidup terpinggir daripada menerima kemajuan dan berdepan dengan pelbagai masalah lain selepas ini.“Apapun kita tetap mempertahankan dan mengambil perhatian diatas perkara itu kerana kita sebagai tempat mengadu,” katanya.