KEGAGALAN mematuhi peraturan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dibimbangi boleh menjejaskan sistem ekologi alam semula jadi, seandainya kerajaan negeri Kelantan tidak memberi perhatian serius terhadap pengawalan pembukaan kawasan hutan.Apa yang pasti situasi itu sudah pun berlaku sekarang apabila kesan penggondolan bukit untuk tujuan membuka kawasan pertanian selain mengeluarkan balak, keadaan air sungai seperti Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri, kini menjadi kuning sehingga spesies ikan dikatakan semakin terancam kerana air yang kotor.Keadaan itu disebabkan apabila hujan, air yang turun dari bukit turut membawa bersama lumpur dan mengalir masuk ke anak-anak sungai sebelum memasuki sungai utama yang terus ke Sungai Kelantan.Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata pembukaan kawasan hutan oleh kerajaan negeri secara tidak terkawal sekitar antara punca pencemaran kepada air Sungai Kelantan dan spesies ikan sungai menjadi semakin terancam.

Malah, sumber ikan sungai seperti kelah dan sebarau juga hampir pupus berikutan air sungai yang kotor dan berselut yang tidak sesuai untuk hidupan air berkenaan.Beliau mengakui air Sungai Kelantan lebih 25 tahun lalu bersih dan jernih bukan seperti sekarang yang kuning dan berselut yang turut menyusuri hampir semua anak sungai termasuk di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.Katanya, pembukaan Ladang Rakyat yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah juga sebahagian punca kepada pencemaran sungai di kawasan Hulu Kelantan."Penggondolan bukit seperti yang berlaku di kawasan Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang yang hampir tiada lagi hutan balak juga menyebabkan pencemaran sungai apabila hujan kerana ia membawa air berselut mengalir masuk ke anak sungai di kaki bukit berhampiran sebelum memasuki sungai utama seperti Sungai Negggiri dan Sungai Galas.

"Keadaan sekarang semakin membimbangkan dengan masalah pencemaran sungai apabila air semakin kotor dan berselut."Lebih membimbangkan ia mengundang masalah banjir besar apabila air hujan mudah mengalir masuk ke sungai tanpa halangan daripada hutan dan pokok balak."Keadaan itu boleh diumpamakan seperti kepala botak apabila disiram air, ia terus turun ke bawah tanpa ada halangan," katanya.
Mohd Rozali berkata, pembukaan kawasan hutan dan pembalakan tidak terkawal dari segi kesan kepada alam sekitar bermula sekitar tahun 1994 yang menyebabkan pencemaran sungai.Beliau berkata, sepatutnya sebaik sahaja kawasan tanah bukit digondolkan untuk mengeluarkan balak, ia perlu ditanam semula dengan tanaman menutup muka bumi terlebih dahulu untuk suatu tempoh tertentu sebelum dimajukan dengan kelapa sawit atau getah.

"Masalahnya sebelum ini ada pihak tidak bertanggungjawab hanya berminat kepada balak dan membuat pembersihan kawasan hutan tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar."Dianggarkan sekurang-kurangnya 70 peratus kawasan hutan dan bukit di negeri ini terbabit dengan pembukaan ladang baharu yang membabitkan penyertaan syarikat swasta secara usahasama menerusi pegangan ekuiti 30 peratus oleh anak syarikat milik kerajaan negeri," katanya merujuk kepada projek pembukaan ladang seperti Ladang Rakyat oleh kerajaan negeri sejak tahun 90an lagi.Beliau juga melahirkan kebimbangan jika tiada langkah sewajarnya diambil oleh kerajaan negeri dalam mengawal pembukaan tanah hutan dan pembalakan secara sistematik, ia bakal mengundang sekali lagi banjir besar seperti yang berlaku tahun lalu."Kita tidak boleh menolak antara punca banjir besar tahun lalu di negeri ini kerana kesan penggondolan bukit bukau dan pembukaan hutan untuk projek pertanian seperti di Lojing," katanya.

Katanya, bukti antara kesan penerokaan hutan sama ada secara sah atau haram oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kepada alam sekitar, kampung di jajahan Gua Musang kini turut terdedah dengan kejadian banjir kilat."Apabila hujan lebat tanpa henti dalam masa beberapa jam saja walaupun di luar musim tengkujuh, ia akan menyebabkan berlaku banjir kilat dengan air berselut yang dipercayai turun dari bukit," katanya.Dalam kejadian terbaru pada 1 Oktober lalu, sebanyak 10 kampung di Gua Musang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan lebih empat jam yang turut menyebabkan Sungai Nenggiri melimpah.Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Kundur, Kampung Nerang, Kampung Kerinting, Kampung Lembaga, Kampung Tiong, Kampung Subong dan Kampung Sungai Terah.