FORUM Bandar Malaysia (MUF) yang berlangsung semalam dan hari ini, membuka peluang dan tanggungjawab membincangkan perancangan serta strategi penyelesaian terhadap isu masyarakat bandar masa hadapan, khususnya Kuala Lumpur.Penganjuran MUF juga wajar memberi maklum balas positif kepada Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) yang berlangsung 7 hingga 13 Februari tahun lalu, selain seiring Agenda Bandar Baharu dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2030).Isu seperti perubahan suhu bandar, banjir kilat, pengurusan sisa pepejal dan kawasan hijau yang cukup untuk masyarakat bandar, perlu diberi perhatian segera untuk jangka masa panjang.Soal pemanasan bandar raya Kuala Lumpur dibincangkan sejak 1970-an. Hasil kajian perbandingan suhu bagi 1972, 1975 dan 1980 menunjukkan kewujudan pulau haba di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.Fenomena ini wujud kerana bertambahnya kenderaan berenjin, selain pertambahan kawasan perumahan dan jalan raya. Hal ini perlu diberi perhatian dan penyelesaian terbaik harus dicari.

Kekal kawasan hijau imbangi suhu

Perancangan bandar, reka bentuk bangunan dan pengekalan kawasan lapang hijau yang mencukupi bagi mengimbangi suhu bandar raya mungkin penyelesaian terbaik.Kawasan hijau seperti Taman Tasik Perdana, Taman Tugu dan Bukit Persekutuan di Kuala Lumpur sangat diperlukan, bagi mengurangkan kenaikan suhu bandar raya Kuala Lumpur. Malah, kawasan kompleks pendidikan sekitar Kuala Lumpur perlu ditingkatkan kehijauan dengan menanam pokok bersesuaian.Kawasan pinggir Kuala Lumpur seperti Batu Caves hingga Templer Park dan Hutan Simpan Selangor FRIM juga perlu disimpan sebagai kawasan hijau masa hadapan Kuala Lumpur. Usaha ini perlu disokong bersama.

Permukaan tanah bandar raya yang diturap sepenuhnya akan mempengaruhi sistem hidrologi. Penanaman pokok selari kawasan perumahan dan jalan raya mungkin boleh mengurangkan larian air dan kejadian banjir kilat di bandar.Pokok dan kawasan hijau juga membantu pengurusan kepulauan haba di bandar raya.Sempena MUF, seluruh masyarakat bandar raya, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya mengambil kesempatan memberi pandangan bagi memastikan kelestarian bandar raya Kuala Lumpur.Pembangunan ekonomi dan keperluan penduduk dari segi penempatan, pengangkutan dan kawasan hijau diberikan pertimbangan ke arah kehidupan bandar selesa dan sihat.Selain kehijauan bandar raya dengan pokok dan mengurangkan pemanasan bandar, isu sisa pepejal sukar diselesaikan selagi tidak ada teknologi yang baik memproses bahan itu, di samping gaya hidup masyarakat bandar yang tidak berubah menuju pengamalan sisa sifar.

Sisa pepejal dan kelestarian sumber air

Semua aspek daripada sumber sisa, sikap dan amalan manusia, aktiviti pelupusan sampah, kos pengurusan dan kaedah penyelesaian sudah banyak dibincangkan.Sepanjang 2018 misalnya seluruh negara membincangkan pencemaran plastik di lautan yang boleh membunuh hidupan laut seperti penyu, ikan paus, burung laut dan ikan, yang akhirnya memberikan kesan kepada kesihatan manusia.Pengurangan atau memberhentikan penggunaan bahan berasaskan plastik sangat sukar dan mencabar kerana ia menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat.MUF boleh membincangkan hal ini ke arah penyelesaian terbaik demi kelestarian bandar raya dan hidupan laut.

Satu lagi isu yang perlu dibincangkan MUF ialah kebersihan sumber air dan sungai. Malaysia bergantung kepada air bersih daripada sungai, selain menjadi tarikan pelancong.Bagi memastikan sungai bersih, pendekatan bersepadu mesti dilaksana dari aspek pendidikan masyarakat, penyelidikan, perancangan dan pemantauan berkala.Semua penduduk bandar mesti faham objektif forum yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian perbandaran dalam kalangan orang awam, pembangunan bandar melalui perbincangan terbuka, bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman, di samping meningkatkan kerjasama semua pihak dalam hal kelestarian perbandaran.Agenda Bandar Baharu mesti selari dan komited terhadap 17 matlamat Agenda 2030 untuk pembangunan yang lestari.

Penulis adalah Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia