Pihak kerajaan negeri Perak berangan-angan dapat mengaut keuntungan melalui aliran pelancong yang meningkat. Kebanyakan kawasan tadahan air di Malaysia kian di nodai oleh keputusan kerajaan-kerajaan negeri sebegini. Mass tourism atau perlancongan lambak telah menyebabkan kebanyakan kawasan pelancongan rosak dan kian tercemar.

Menurut S. Piarapakaran, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), pihak WECAM dan Forum Air Malaysia telah melakukan pemantauan perterusan kepada Bukit Larut semenjak tahun lalu. Pelbagai isu telah timbul dan sedang menyediakan laporan lengkap kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Antara isu yang dipantau adalah hakisan, tanah runtuh, perubahan peredaran air, aktiviti pembersihan hutan sekitar kawasan tadahan air dan pemusnahan bangunan bersejarah (warisan).

Piarapakaran juga menegaskan bahawa isu kawasan tadahan air berkait rapat dengan tarif air. Apabila kualiti air merosot disebabkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri, sepatutnya, kenaikan tarif tidak dibenarkan. Pihak kerajaan negeri yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Rakyat perlu memastikan kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan betul dan melindungi bekalan air kepada rakyat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak memberikan sebarang ulasan ke atas projek ini berpandukan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment-EIA). Piarapakaran berkata, ”Bagaimana projek di kawasan Hutan Simpanan boleh berjalan tanpa EIA? JAS tidak boleh memberikan komen atau ulasan tanpa sebarang kajian terperinci.”

Isu Bukit Larut tidak terhenti-henti walaupun perubahan dalam pemerintahan kerajaan negeri telah berlaku. Ada pula pihak yang menegaskan projek ini sama dengan Gunung Mat Cincang di Langkawi. Akan tetapi, struktur tanah dan komposis hutan adalah jauh berbeza.

Di Malaysia, keutamaan tidak diberikan kepada pengwartaan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap. Pelbagai contoh lagi dapat kita rujuk di setiap negeri dan akhirnya apabila kualiti air menjadi teruk, tarif akan dinaikkan.

Layari www.bukitlarut.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu Bukit Larut (Maxwell Hill).