Petaling Jaya, 10hb Februari 2010 - Makluman pengguna kepada Persatuan Pengguna Air dan Tenaga (WECAM) menunjukkan terdapat agen dari syarikat penapis air yang telah menggunakan cara halus dan tersirat untuk memperdayakan pengguna bagi membeli penapis air.


Cik Syarina Mohd Yusof, Jurutera Eksekutif WECAM berkata, “tujuan utama pemasangan penapis air dilakukan adalah disebabkan masalah kualiti air, tetapi hal ini tidak dinyatakan secara jelas oleh pihak agen malahan mereka lebih gemar menggunakan faktor kesihatan keluarga yang akan bertambah baik jika menggunakannnya. Pengadu yang berasal dari golongan sederhana berkata, pihaknya  mudah terpedaya disebabkan kurang mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai penapis air dan menganggap pembelian penapis air tersebut dapat membantu meningkatkan kesihatan dan mengelakkan penyakit terhadap ahli keluarga dengan hanya meminum air dari penapis air tersebut. Ini samalah juga seperti “air ajaib”.” 

“Bukan itu sahaja, bagi memastikan pengguna memberikan wang deposit sebagai tanda setuju untuk pembelian penapis air, agen tersebut akan kerap kali melakukan “lawatan mesra” dari rumah ke rumah dan tidak lupa untuk mengirimkan kad raya. Disebabkan itu, pengguna tidak dapat menolak dan membiarkan sahaja pemasangan penapis air dipasang di rumah mereka walaupun pada dasarnya bayaran bulanan yang perlu dibuat adalah agak tinggi untuk golongan seperti mereka” kata beliau lagi.

Disebabkan itu, pihak WECAM menasihati para pengguna untuk mengetahui dahulu masalah kualiti air seperti warna dan bau di kawasan penempatan anda bagi memastikan kesesuaian penapis air yang perlu digunakan. Selain itu, pihak pengguna juga diharapkan dapat melakukan pembersihan atau penyelenggaraan terhadap tangki simpanan air bagi memastikan sedimen-sedimen yang terenap di dalam tangki tidak memberi kesan terhadap bekalan air yang disalurkan ke rumah.