Air Tidak Terhasil  (Non-Revenue Water, NRW) boleh dikategorikan sebagai kehilangan air semasa pengagihan kepada pengguna dalam perkhidmatan bekalan air.

Peratusan NRW yang tinggi menunjukkan jumlah kehilangan air yang banyak dan mendatangkan kerugian kepada industri, dan seterusnya kepada negara kerana hasilnya tidak dapat dikutip.

Kadar NRW ini merupakan antara salah satu penanda aras yang digunakan untuk mengukur tahap prestasi perkhidmatan air sesebuah negara.

Di Malaysia, kadar purata NRW pada tahun 2013 adalah 36.6%. Kadar ini meningkat sebanyak 0.2% berbanding pada 2012, iaitu 36.4%. Sejak tahun 2009 lagi, kadar NRW ini berada dalam lingkungan 36%.

Kadar NRW di Malaysia yang terendah adalah di negeri Pulau Pinang dengan jumlah sebanyak 18.2% manakala yang tertinggi pula negeri Perlis dengan 62.4%. Komponen NRW erdiri daripada kehilangan komersial dan kehilangan fizikal.

Kehilangan komersial merangkumi bacaan meter yang tidak tepat, penggunaan tidak sah seperti sambungan secara haram dan tidak berdaftar serta kegunaan air yang tidak dibilkan, seperti memadam kebakaran.

Kerugian fizikal pula seperti kebocoran atau paip pecah. Kebocoran dalam sistem perpaipan juga memberikan impak kepada

kualiti bekalan air. Kualiti perkhidmatan air yang pulih selepas paip pecah dapat dilihat daripada keadaan air yang berkarat akibat perbezaan tekanan air yang mendadak.

Pengguna perlu membiarkan pili air terpasang untuk membolehkan kualiti air kembali seperti biasa. Namun ini turut menyebabkan pembaziran air.

Langkah-langkah untuk mengurangkan NRW perlu dipertingkat kerana NRW menyebabkan pembaziran air serta pendapatan syarikat bekalan air.

Pengurangan NRW membolehkan bekalan air yang sedia ada dapat menampung permintaan air yang kian meningkat tanpa melibatkan pelaburan baru untuk membina infrastruktur perawatan air. 

Pengurangkan dan mengawal NRW adalah kompleks dan melibatkan kos yang tinggi.

Dalam usaha untuk mengekalkan NRW pada tahap yang rendah, pelaksanaan strategi pengurangan secara menyeluruh dan holistik perlu dilakukan. Ia merupakan satu pendekatan berkesan untuk mengurangkan jumlah NRW dalam jangka masa panjang.

Langkah ini meliputi pelaksanaan program untuk mengurangkan kerugian kedua-dua komersil dan fizikal.
Pada masa ini, penggantian paip-paip lama dilakukan secara berperingkat. Dalam sesetengah kes, penggunaan kaedah X-Ray dan Ultrasonik membantu mengenal pasti kebocoran.

Penggunaan peralatan atau produk yang mempunyai standard, berkualiti dan diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga perlu diberikan perhatian.

Pengambilan pekerja-pekerja yang bermahiran amat perlu dalam membentuk satu pasukan penyelenggaraan air yang cekap.

Pihak yang terlibat dengan kerja-kerja pembaikan, seperti kontraktor yang melakukan kerja yang melibatkan pengorekan jalan juga perlu peka dan berhati-hati agar tidak menyebabkan kerosakan paip air.

Setiap kerja pembaikan kontraktor dan tukang paip ini perlu dipantau bagi memastikan kemasan kerja yang berkualiti dan menepati keperluan spesifikasi.

Pelbagai kaedah telah diperkenal, seperti pemberian dana atau kontrak kepada kontraktor yang berkelayakan atau melalui kaedah berasaskan prestasi bagi melaksanakan kerja-kerja NRW yang bekesan.

Insentif diberi kepada kontraktor yang berjaya melaksanakan kerja yang berkualiti dan menepati masa, manakala penalty pula dikenakan kepada kontraktor yang gagal mencapai sasaran.

Kerjasama antara industri dan institusi pengajian tinggi juga penting dalam mencari kaedah terbaik menangani masalah NRW melalui penyelidikan dan pembangunan inovasi.

Pengguna juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab. Selain menggunakan air secara berhemat, pengguna juga digalakkan untuk membuat aduan kepada syarikat air sekiranya terdapat sebarang kebocoran paip atau paip pecah, kecurian air mahupun gejala vandalisme.

Tidak dapat dinafikan bahawa masih wujud dalam kalangan masyarakat yang bersikap tidak endah apabila melihat keadaan ini, dengan tanggapan orang lain akan mengambil tindakan.

Kesedaran dan tanggungjawab ini perlu sentiasa dipupuk.

Bagi mencapai  matlamat tersebut, program jangkauan dan pendidikan kepada orang awam mengenai NRW perlu dibuat secara berterusan.

Langkah ini amat penting agar pengguna dapat memahami apa itu NRW, kesan NRW kepada masyarakat dan negara.

Seterusnya, pengguna juga diberikan penerangan agar mereka dapat melibatkan diri dalam menurunkan kadar NRW.

Oleh itu, semua pihak seperti kerajaan, industri dan pengguna perlu bekerja keras dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menjadikan penurunan NRW kepada 25%  pada tahun 2020 menjadi kenyataan.


Penulis adalah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).