Bioplastik merupakan sejenis plastik yang diperbuat daripada sumber-sumber biomass boleh diperbaharui, seperti lemak dan minyak sayur-sayuran, kanji jagung, kanji kacang atau mikrobiota. Bioplastik adalah lebih mampan kerana ia boleh terurai dalam persekitaran dengan lebih cepat berbanding dengan plastik biasa, yang boleh mengambil masa lebih daripada 100 tahun. Bioplastik yang direka boleh terurai sama ada dalam persekitaran anaerobik atau aerobik, bergantung kepada cara ia dihasilkan.

Terdapat pelbagai jenis bioplastik yang direka. Ia boleh terdiri daripada kanji, selulosa atau biopolymers. Bioplastik digunakan dalam menghasilkan bahan pembungkusan, pembungkusan makanan, penebat dan peralatan makan; seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu, periuk, mangkuk dan straw.

Bioplastik yang boleh dibiodegradasi juga sering digunakan dalam menghasilkan beg plastik sampah organik, yang boleh dikompos bersama-sama dengan sisa makanan dan mengurai dalam persekitaran aerobik dan anaerobik. Selain itu, ia juga boleh dijadikan bekas untuk buah-buahan, sayur-sayuran, telur dan daging; botol minuman ringan, botol produk tenusu, pembalut untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.


Terdapat banyak jenis bioplastik, antaranya bioplastik yang berasaskan kanji yang banyak digunakan. Kanji tulen mampu menyerap lembapan. Oleh itu, ia banyak digunakan dalam pembuatan kapsul ubat-ubatan, manakala bioplastik berasaskan selulosa pula banyak digunakan dalam pembungkuasan.  Selain itu, bioplastik berasaskan Polylactic acid (PLA) yang diperbuat daripada gula tebu atau glukosa pula digunakan untuk membuat pembalut, cawan dan botol. Poly-3-hydroxybutyrate (PHB) mempunyai takat lebur yang lebih tinggi daripada 130 darjah Celcius dan terbiodegradasi tanpa sisa. Bioplastik daripada Polyhydroxyalkanoates (PHA) adalah kurang elastik berbanding dengan bioplastik yang lain, yang banyak digunakan dalam industri perubatan.

Pengeluaran dan penggunaan bioplastik secara amnya dianggap sebagai aktiviti yang lebih mampan jika dibandingkan dengan pengeluaran plastik biasa. Namun kajian dan penambahbaikan perlu diteruskan agar proses penghasilannya lebih mampan dan kos efektif.

Nuraini Khalil
Forum Air Malaysia