Pembangunan pesat dalam sektor pertanian, industri, pelancongan, pembuatan dan kemajuan bandar tidak mungkin terjadi sekiranya tiada sumber air yang mencukupi.

Walaupun Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak, namun terdapat banyak kawasan di Malaysia mengalami tekanan dalam mendapatkan bekalan air yang mencukupi disebabkan oleh ketidakseimbangan permintaan air di sesetengah lokasi dan juga  perubahan corak cuaca yang mempengaruhi suhu.

Oleh itu, penggunaan air sisa kumbahan yang telah dirawat dilihat dapat menyumbang kepada sumber air alternatif, terutama bagi sektor industri. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat.


Di Malaysia, sumber air yang diperoleh terus daripada sungai adalah sebanyak 12,620 MLD, simpanan di empangan  sebanyak 2,274 MLD dan air bawah tanah sebanyak 204 MLD.  Jika dapat dirawat, air sisa kumbahan dapat menyumbang kira-kira 4,000 MLD air di Malaysia. Air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti pertanian seperti pengairan tanaman bukan makanan, contohnya pokok-pokok bunga. Ia dapat menjimatkan kos, di samping membekalkan nutrien yang tinggi. Selain itu, ia juga boleh diguna pakai untuk kegunaan perbandaran seperti mencuci trak atau mencuci jalan-jalan raya. Bagi sektor industri pula, air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti penyejukan mesin dan juga untuk cucian.

Banyak kebaikan yang diperoleh dengan penggunaan air sisa terawat ini. Antaranya, memberi keutamaan  sumber air semula jadi sebagai sumber air minuman, menggalakkan penggunaan teknologi hijau, menggalakkan pemuliharaan sumber, mengurangkan pencemaran sumber air dan juga dapat menjimatkan kos, terutama bagi industri yang banyak menggunakan air kerana mengitar semula air, dan seterusnya dapat mengurangkan pembelian air terawat.   Pandangan negatif orang ramai terhadap air sisa terawat perlu diubah. Dengan perkembangan teknologi pada masa kini, air sisa kumbahan dapat dirawat sehingga menjadi jernih dan selamat digunakan.

Teknologi ini telah banyak diguna pakai di negara-negara lain. Jika dilihat dalam senarai 40 negara yang mengguna semula air sisa terawat, US adalah negara yang menggunakan semula air sisa terawat terbanyak, iaitu 7,600,000 m3/d. Singapura pula merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang tersenarai dengan menggunakan sebanyak 75,000m3/d. Di Malaysia, banyak faktor yang mempengaruhi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan teknologi ini. Kerisauan yang timbul dalam kalangan orang ramai adalah dari segi penerimaan adat dan agama, kebersihan, bau dan juga keselamatan. Oleh itu, penyebaran maklumat secara telus tentang teknologi ini amat perlu dalam memberi keyakinan dan pemahaman yang tinggi kepada orang ramai. 

Nuraini bte Khalil
Forum Air Malaysia