Pada 15 Mei 2012, bertempat di Pusat Angkasa Antarabangsa 330km dari permukaan Bumi, seorang angkasawan mengeluarkan mesej yang agak menggusarkan, iaitu beliau menggambarkan bahawa tahap penggunaan sumber pada masa sekarang adalah 50 peratus berlebihan daripada apa yang mampu dunia bekalkan.  

Dalam mesej tersebut, Andre Kuipers daripada Agensi Angkasa Eropah memberitahu tentang keunikan pemandangan Bumi yang beliau telah mengelilingi 16 kali sehari. “Dari sini, saya dapat lihat jejak manusia, seperti kebakaran hutan, pencemaran udara dan hakisan,” ujar beliau semasa melancarkan Laporan Kehidupan Planet WWF 2012.

Laporan dua tahun ini, yang dihasilkan melalui kerjasama Zoological Society of London dan Global Footprint Networks, membuat unjuran bahawa pada tahun 2030, manusia memerlukan dua buah planet untuk mengekalkan pertumbuhan penduduk dan penggunaan sumber. “Kita sedang menjalani kehidupan dalam keadaan seolah-olah kita mempunyai sebuah planet lagi,” ujar Jim Leape,  Ketua Pengarah WWF International. “Kita sedang menggunakan lebih 50 peratus daripada sumber yang kita ada di Bumi sekarang. Jikalau kita tidak membuat perubahan, kita akan menghadapi masalah besar.”


Laporan tersebut mengkaji kesihatan ekosistem dengan menjejak 9,000 hidupan daripada 2,600 spesis mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Hasil kajian menunjukkan biodiversiti sedunia telah menurun hampir 30% sejak 1970, dan 60% berlaku di kawasan tropika. 

Menurut laporan, kehilangan yang berlaku di kawasan tropika menggambarkan satu jurang malapetaka yang berkemungkinan berlaku dalam jejak ekologi di antara negara miskin dan negara kaya. Di samping itu, jika cara hidup semua penduduk dunia adalah sama seperti cara hidup di Amerika Syarikat, maka empat buah Bumi diperlukan untuk memenuhi permintaan tahunan sumber-sumber asli. Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai jejak sumber per kapita kelima terbesar di dunia, diikuti oleh Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Denmark.

Selain itu, jurang perbezaan di antara negara kaya dan miskin semakin bertambah. Ia berlaku apabila negara kaya sedang meningkatkan ekonomi mereka dengan menggunakan sumber yang terdapat di  negara miskin. Menurut Gemma Cranston, ahli sains di Global Footprint Network di Geneva, permintaan penggunaan sumber di negara-negara kaya mendorong negara-negara miskin untuk mengeksport sumber mereka.

“Kita masih mempunyai lima minggu sebelum Persidangan Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Brazil. Laporan ini akan memberi peluang kepada pemimpin negara untuk membuat komitmen yang baru bagi pertumbuhan ekonomi yang berpandukan pembangunan mampan,” Kata Cranston. “Negara kaya mesti membantu negara miskin, dan bukannya menggunakan sumber mereka untuk kepentingan diri.”

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)