Cyberjaya,18 April 2012 – Menyedari masalah air tidak berhasil yang boleh memberikan kesan kepada bekalan yang berterusan dan bersih kepada pengguna, FOMCA dan ahli gabungannya telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Air tidak berhasil ataupun dikenali sebagai Non-revenue Water (NRW) telah mencapai tahap purata nasional sebanyak 36% sejak tahun 2009. Ini bermaksud, sejak tahun 2009, setiap 100 liter air bersih yang diproses sebanyak 36 liter telah dibazirkan begitu sahaja disebabkan oleh masalah-masalah seperti paip bocor dan juga kecurian air.


Majlis penyerahan memorandum ini diketuai oleh Muhammad Shaani Abdullah, Setiausaha Agung FOMCA, yang diiringi oleh wakil-wakil ahli gabungan lain, seperti Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, Forum Air Malaysia, Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna CRRC dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), kepada Dato’ Teo Yen Hua, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN.

Melalui memorandum tersebut, FOMCA telah mengemukakan 12 cadangan yang menglibatkan pembentukan polisi NRW yang holistik dan pengiraan NRW yang standard untuk seluruh negara.

Dalam maklum balasnya, Dato Teo bersetuju terhadap syor-syor tersebut dan mengesahkan bahawa satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan di peringkat SPAN untuk mengatasi masalah NRW ini dengan matlamat untuk mengurangkan NRW negara kepada 25% menjulang tahun 2020.

Memorandum tersebut boleh didapati di :  http://www.forumair.org.my/v1/images/stories/pdf/nrw2012bm.pdf

Fong Weng Lian
Forum Air Malaysia