Sempena Hari Laut Sedunia - 8 Jun 2011

Sejauh manakah anda mengetahui tentang hidupan dalam lautan? Anda mungkin akan menjawab bahawa anda banyak mengetahui. Namun, sejauh manakah yang anda benar-benar mengenali kehidupan dalam lautan? Sudah tentu sangat sedikit.

Sebanyak 71% kawasan lautan di dunia masih belum dijelajahi ataupun dikaji secara mendalam. Dari segi kedalaman pula, masih belum dapat dikenal pasti semua hidupan yang tinggal di kedalaman yang lebih daripada 1000 meter.

Walaupun banyak usaha dan pengetahuan yang bernilai telah disumbangkan oleh beribu-ribu ahli biologi marin dan ahli ekologi, tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari daripada lautan.


Apakah kebaikan yang boleh diperoleh dengan mengenali lebih banyak tentang lautan? Semakin banyak yang ditahui, maka semakin banyak pula usaha yang boleh dilakukan untuk memulihara hidupan lautan dengan lebih berkesan. Ini adalah penting kerana lautan yang memberikan kehidupan, malah merupakan pengawal iklim yang utama di dunia. Kesihatan hidupan laut merupakan petunjuk yang penting kepada kesihatan lautan, yang juga berkait rapat dengan kesihatan bumi.

Sesetengah haiwan ataupun tumbuhan lautan boleh memberi jawapan untuk menangani penyakit-penyakit kronik, ataupun kaedah untuk memberikan makanan yang secukupnya kepada penduduk dunia. Sebagai penghuni di daratan, manusia juga berhubung-kait dengan kehidupan di lautan. Sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku di bawah laut, adakah anda bersedia untuk menghadapi dan mengatasi cabaran tersebut.

Namun, ia merupakan satu cabaran yang besar untuk mengenali lautan yang begitu dalam dan jauh daripada persisiran pantai. Hampir 40 tahun dahulu, seramai 12 orang angkasawan telah dihantar untuk mengikuti enam misi yang berlainan ke bulan yang menjangkau perjalanan sejauh 400,000 km. 10 tahun sebelum itu, dua orang penyelam telah menyelam sehingga 11 km ke bawah permukaan laut di dalam sebuah kapal selam, sehingga ke jurang yang paling dalam, iaitu Jurang Mariana. Selepas 50 tahun, tidak ada sesiapa pun yang permah menyelam sedalam itu, kecuali dua buah kapal selam berkawalan jauh.

Dengan wujudnya teknologi yang semakin mantap, maka usaha perlu diambil bagi menjelajah isi perut lautan dengan lebih mendalam. Adalah tidak masuk sekiranya manusia hanya mengenali permukaan bulan lebih daripada lautan.

Oleh itu, bermula dengan Hari Laut Sedunia, pada 8 Jun 2011 ini, cubalah mengenali dengan lebih mendalam tentang lautan. Melalui imaginasi dan pengetahuan yang terkumpul itu, maka usaha memulihara lautan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia