Malaysia menjadi rumah kepada salah satu hutan hujan tropika yang tertua di dunia. 62.3% ataupun 20,456,000 hektar kawasan Malaysia merupakan kawasan hutan. Namun, agak mendukacita apabila kajian pada tahun 1990 hingga 2010, menunjukkan bahawa Malaysia kehilangan 96,000 hektar ataupun 0.43% kawasan hutan secara purata setiap tahun.

Penggunaan tanah untuk tujuan pengeluaran bahan makanan dan bahan api telah menyebabkan kadar penyahutanan telah meningkat dengan mendadak sehingga menggugat spesis-spesis kehidupan termasuklah manusia.

Kerosakan yang dilakukan terhadap hutan menyebabkan kehilangan bekalan bahan api kayu, tanah, sumber air dan kualiti kehidupan luar bandar.

Secara keseluruhan, kos penyahutanan pada skala global dianggarkan sebanyak USD2 hingga USD5 trilion.

Tema Hari Alam Sekitar 2011 pada tahun ini menekankan kepentingan hutan iaitu Hutan: Alam Semula Jadi Sedia Berkhidmat Untuk Anda. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengumumkan bahawa 2011 adalah Tahun Antarabangsa Hutan.

Sebagai Presiden kepada pertubuhan pengguna yang terbesar di Malaysia, dan antara yang tertua, saya ingin menekankan kepentingan melibatkan pengguna-pengguna sebagai salah satu pihak-pihak berkepentingan dalam pengurusan hutan yang mampan. Pengguna boleh memainkan peranan dengan mewujudkan desakan dan dorongan terhadap permintaan barangan yang dihasilkan daripada hutan-hutan yang diuruskan secara mampan. Pengurusan mampan hutan adalah penting dalam pembangunan mampan kerana ia berkesan dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan sosial.

Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh pembekal dan agensi kerajaan untuk memdorong permintaan terhadap produk yang lebih mesra alam ialah melalui skema label eko. Jika Skema label eko dilaksanakan dengan telus dan diuruskan dengan baik, ia memberikan jaminan kepada pengguna-pengguna dan hak kepada alam sekitar yang lebih sihat dan mampan. 

Bagi pengurusan hutan yang mampan, skema pengiktirafan ‘Forest Stewardship Council’ (FSC) dan Rangkaian Penahanan (Chain of custody) mengutarakan isu-isu urus niaga haram spesis-spesis hutan yang terancam.

Pengiktirafan hutan ini dibangunkan sebagai satu instrumen untuk memberikan pengesahan dan memberi insentif kepada pengurusan hutan yang mampan. Rangkaian Penahanan yang diuruskan oleh satu pihak berkecuali berfungsi bagi menjejak dan mengesahkan kayu-kayu balak yang keluar dari hutan hingga kepada pengguna. Ini bagi memastikan kayu-kayu balak itu datang daripada hutan di bawah pengurusan mampan. 

Pengguna-pengguna juga boleh meminta produk-produk makanan hasil hutan yang mempunyai impak minimum terhadap hutan. Maklumat ini boleh didapati melalui skema pengiktirafan seperti ‘Rainforest Alliance (RFA)’ dan juga ‘The Fair Trade Labeling scheme’.

Pengiktirafan Rainforest Alliance (RFA) menggalakkan petani-petani menanam tanaman dan mengurus kebun-kebun secara mampan. Pengembangan kawasan pertanian bertanggungjawab untuk 70% penyahutanan pada skala dunia. Penggunaan tanah yang tidak terurus dan terancang telah menyebabkan hakisan tanah, pencemaran air dan kerosakan habitat hidupan liar.

Skema ‘Fair Trade’ telah menghasilkan satu hubungan beretika antara syarikat-syarikat eksport dan pengeluar di negara-negara sedang membangun dan pembeli di negara-negara maju. Bagi penduduk hutan yang miskin dan terpinggir, skema seperti itu telah membawa banyak kebaikan seperti transaksi urus niaga yang dipercayai, latihan, akses kepada informasi perniagaan dan pendapatan yang lebih stabil.

Dalam kajian soal-selidik yang dilakukan oleh FOMCA pada tahun 2007 tentang penggunaan mampan, didapati bahawa hanya 5% daripada responden yang mengenali label kecekapan tenaga. Walaupun label 3R dikenali oleh hampir 88% orang responden, namun hanya 30% sahaja yang tahu di mana lokasi pusat kitar semula yang terdekat dengan rumah mereka. Kesedaran terhadap label FSC, RFA dan Fair Trade adalah lebih rendah kerana ia masih belum diberikan penekanan oleh dasar kerajaan.

Oleh sebab itu, kerajaan perlu menggiatkan usaha mereka dalam mempromosikan produk mesra melalui skema label eko. Selain itu, skema ini juga harus dimasukkan ke dalam polisi yang melibatkan makanan, bangunan, produk-produk dan usaha penyesuaian serta mengatasi perubahan iklim. Sektor perniagaan harus mempromosi bagi membolehkan produk-produk tersebut mudah diperolehi oleh pengguna. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi untuk mempromosikan penggunaan mampan di antara pengguna seperti yang disarankan dalam‘ISO 26000 – Guidance on Social Responsibility’. Semua usaha pembangunan mampan memerlukan kerjasama daripada semua sektor iaitu kerajaan, perniagaan dan pengguna.

 


Datuk Marimuthu Nadason
Presiden, Gabungan Persatuan-Persatu