Di negara sedang membangun, sebanyak 1.6 bilion orang masih tidak mendapat bekalan elektrik. Bagi menangani isu cabaran dunia terhadap sumber tenaga sedunia, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon telah mengutarakan satu revolusi dunia pada awal Januari 2011.

Menurut beliau, dunia memerlukan satu revolusi tenaga bersih dunia untuk membolehkan tenaga boleh didapati dan mampu dibiayai oleh setiap penduduk dunia. Dengan adanya bekalan tenaga ini, ia dapat mengurangkan risiko iklim, mengurangkan kemiskinan dan menambah baik kesihatan, pertumbuhan ekonomi sedunia, keamanan dan keselamatan dan menjaga tahap kesihatan penduduk di dunia ini.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa ekonomi yang berasaskan bahan api fosilpada masa ini telah menyumbang kepada perubahan iklim. Dalam masa yang sama keperluan tenaga dunia kian meningkat.
Dalam tempoh 20 tahun sahaja, keperluan tenaga akan meningkat sebanyak 40 peratus yang kebanyakannya di negara-negara membangun. Hampir 3 bilion orang akan bergantung kepada tenaga biomass untuk memasak, memanas dan keperluan seharian yang lain.

Selain itu, beliau juga mencadangkan dua matlamat yang berhasrat tinggi, tetapi boleh dikecapi pada tahun 2030, iaitu akses penduduk dunia kepada sumber tenaga moden dan peningkatan kepada keupayaan tenaga sebanyak 40 peratus.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita mesti melabur dalam pengetahuan intelektual yang akan mencipta teknologi yang baru dan hijau. Di samping itu, kita juga perlu kerjasama di antara sector swasta dan awam untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, manakala kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak insentif yang betul.” kata Ban Ki-Moon.

“Marilah kita membuat perjanjian untuk melabur melalui cara yang betul. Kita perlu memastikan kepentingan utama kita adalah betul. Seluruh penduduk dunia sepatutnya berupaya menikmati kesihatan, pendidikan dan kebaikan sosial yang membolehkan sumber tenaga moden dan bersih dapat dibekalkan.” ujar beliau lagi.

Pada Disember 2010, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengumumkan bahawa tahun 2012 merupakan “Tahun Antarabangsa Kelestarian Tenaga Untuk Semua” dengan tujuan untuk mempromosikan teknologi tenaga yang baru dan boleh diperbaharui.

Tahun 2012 juga merupakan Ulang Tahun ke-20 untuk Sidang Kemuncak Bumi Rio yang telah merangka satu pelan biru untuk pembangunan lestari pada masa hadapan. Ban juga menekankan bahawa tenaga yang bersih dan ekonomi karbon rendah merupakan kunci utama untuk satu dunia yang lebih selamat, aman dan makmur untuk semua. 

Pada masa ini, 3 bilion orang masih bergantung kepada tenaga biojisim tradisional dan arang batu. Hakikatnya, masih terdapat 2 juta orang, terutamanya wanita dan kanak-kanak, mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran alam sekitar.

Di negara ini pula, kerajaan berhasrat untuk membina dua loji jana kuasa nuklear yang berkapasiti 1000Mw setiap satu. Persoalannya, adakah tenaga nuklear merupakan teknologi yang benar-benar selamat dan sumbernya boleh diperbaharui? Adakah negara mempunyai kepakaran yang secukupnya untuk mengendalikan loji-loji tersebut? Bagaimana pula sekiranya berlakunya kebocoran sisa-sisa nuklear?

Sila renungilah persoalan-persoalan ini.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia