Pembangunan negara Malaysia kian pesat dengan pelaksanaan pelbagai program utama dalam sektor pertanian, infrastruktur, industri serta komersial.

Walau bagaimanapun, seperti juga negara-negara lain, Malaysia tidak terlepas daripada menghadapi masalah banjir sama ada secara semula jadi atau disebabkan oleh pembangunan serta pembalakan yang tidak terancang. Oleh itu, Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan serta melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengurangkan kawasan yang dilanda banjir.

Pelaksanaan projek tebatan banjir telah menunjukkan hasil yang memuaskan seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Seremban dan RTB Lembah Klang. Jika projek tebatan banjir tidak dilaksanakan, maka jumlah kemusnahan akibat banjir akan meningkat dan banyak kerugian dialami.

Peruntukan Program Rancangan Tebatan Banjir telah dilaksanakan secara menyeluruh selepas negara mengalami banjir besar pada tahun 1971.

Pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masaah banjir seperti menubuhkan Suruhanjaya Tetap Mengawal Banjir, Mekanisme Bantuan Bencana Banjir, menjalankan kajian lembangan sungai dan menyediakan ‘Pelan Induk Penyaliran’ untuk bandar-bandar utama, pelaksanaan kaedah struktur dan bukan struktur, mewujudkan sistem ramalan dan amaran banjir serta mewujudkan jaringan stesen pengumpulan data hidrologi dan banjir.

Dalam memastikan keberkesanan mengatasi masalah banjir, Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) telah diperkenalkan pada tahun 2000 bagi menggantikan “Prosedur No1 (1975) Perancangan dan Rekabentuk” dan “Anggaran Rekabentuk Hujan. Semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek mengatasi banjir perlu menggembleng sumber dan memberi keutamaan kepada pelaksanaan usaha mengatasi bencana banjir.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia