Terdapat kelewatan dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air iaitu, rawatan air, bekalan air dan rawatan kumbahan. Dengan hanya berbaki enam bulan, industri perkhidmatan air masih belum bertukar kepada rejim penguatkuasaan yang baru. Perkara ini semestinya akan melambatkan rancangan untuk memastikan industri ini mendapat pulangan kos sepenuhnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10.

Tambahan pula, semua agensi kerajaan yang berkaitan dengan perkhidmatan air sepatutnya distruktur semula di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Proses penggabungan ini penting untuk memastikan jaminan bekalan air negara.

Proses penetapan tarif memerlukan kajian yang teliti. Pihak WECAM telah mencadangkan agar julat tarif perlu mengambil kira kecekapan penggunaan air serta tarif mendenda kepada pengguna domestik, industri dan komersil yang membazir, dalam proses mendapatkan pulangan kos sepenuhnya . Kerajaan juga perlu menyediakan air kitar semula untuk pihak industri bagi kegunaan bukan makanan atau minuman.

WECAM juga telah menyeru agar kerajaan menggunakan tarif kumbahan berpandukan isipadu penggunaan bukannya kadar rata. Ini dapat membantu industri ini untuk menambah baik perkhidmatan mereka. Selain itu, projek-projek mengitar semula air kumbahan seperti di Labuan perlu digiatkan bagi semua lokasi yang mengalami kekurangan bekalan air seluruh Malaysia. Proses penetapan tarif juga memerlukan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan.

Kerajaan-kerajaan negeri mesti mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap. Kawasan-kawasan ini perlu dilindungi sepenuhnya dan sebarang bentuk pembangunan mesti dilarang sama sekali. Walaupun Rancangan Malaysia Ke-10 menyokong usaha untuk mewartakan kawasan ini, namun begitu pengumuman Kerajaan Perak untuk meneruskan cadangan projek kereta kabel di Bukit Larut, Perak, mewujudkan percanggahan antara dasar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. WECAM berharap semua kerajaan negeri mewartakan kawasan tadahan mereka dengan kadar segera sebelum rakyat menjadi mangsa kegagalan mereka.

 

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)