Setelah sekian lama mendiamkan diri, Kerajaan Perak telah mengumumkan pendirian mereka mengenai Projek Kereta Kabel Bukit Larut. Projek ini telah dibantah dengan kerasnya oleh FOMCA dan ahli gabungannya, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM). Dalam kebanyakan mesyuarat yang dihadiri oleh FOMCA atau WECAM, isu kualiti air mentah dan kualiti sumber air sering dijadikan isu hangat. Sekarang, kita sedang melihat sebuah kerajaan yang mengorak langkah untuk mengancam jaminan air mentah kepada rakyat.

Mengikut statistik, kawasan bukit Larut membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna di Larut, Matang dan Selama. Sektor pengilangan juga bergantung kepada air ini. Sumber air untuk empangan adalah daripada kawasan tadahan air di Bukit Larut. Sungai-sungai utama seperti Sg. Ranting, Sg. Anak Ranting, Sg. Batu Teguh, Sg. Tupai, Sg. Air Terjun, Sg. Larut, dan Sg. Buluh merupakan sumber air daripada kawasan tadahan ini.

Hutan Bakau Matang juga bergantung kepada bekalan air daripada kawasan Bukit Larut. Keseluruhan ekosistem ini sekarang dalam bahaya disebabkan oleh kerajaan negeri Perak akan meneruskan pembinaan kereta kabel. Projek ini dianggarkan akan menerima pengunjung seramai 1000 orang setiap hari. Sisa kumbahan dan sisa pepejal akan menjangkau keupayaan Kawasan Alam Sekitar Sensitif (ESA) seperti Bukit Larut. Adalah perlu diberikan perhatian bahawa Kajian Impak Alam Sekitar tidak dilaksanakan.

Hampir 21.53 kilometer persegi kawasan tadahan utama telah dikenal pasti. Ini tidak termasuk kawasan tadahan sekunder dan tertier yang menyokong fungsi kawasan tadahan utama. Kini, hanya tinggal 27.47 kilometer persegi kawasan hutan yang diwartakan. Apa yang telah berlaku kepada kawasan yang diwartakan  (71.4 kilometer persegi) semenjak 1910?

WECAM membantah tindakan kerajaan negeri Perak meneruskan projek kereta kabel ini, yang disokong kuat melalui kempen ‘Save Bukit Larut’ di Facebook. Hampir 1850 orang membantah projek ini. Hampir 95% daripada mereka adalah penduduk tempatan Taiping dan yang bekerja di luar Taiping.

WECAM akan terus memantau perkembangan Bukit Larut pada setiap bulan. Jalan sepanjang 13 kilometer adalah satu perjalanan yang sungguh memukau hati. Kebanyakan pengunjung yang berusia dan kerap ke Bukit Larut turut membantah projek ini. Memandangkan tentangan terhadap projek ini sangat kuat, WECAM ingin menamakan orang-orang yang bertanggungjawab serta menghalang hak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat (yang merupakan salah satu hak pengguna).

Menteri Besar Perak dan exco-exco, ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN di Larut, Matang dan Selama, pengurusan dan pegawai atasan Majlis Perbandaran Taiping merupakan pihak yang menyokong projek ini termasuk konsultan-konsultan mereka. Jika berlaku sebarang tragedi akibat daripada projek kereta kabel ini, maka cari mereka dan zuriat mereka serta failkan kes di mahkamah. Sudah cukup kerenah ‘penoda’ ke atas alam sekitar!

 

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)