Hutan dan laut merupakan penyerap karbon yang terbesar di dunia. Kedua-duanya penting dalam usaha memerangi perubahan iklim. Menurut kajian-kajian sains yang telah dilakukan, hutan menyerap sebanyak 2.4 gigaton karbon setiap tahun di antara tahun 1990 hingga 2007.

Dlam kepelbagaian jenis penyerap karbon yang bertapak di permukaan tanah Bumi, hutan memainkan peranan yang sangat penting. Langkah menghentikan pengenyahutanan dan memulihara hidupan liar yang terdapat di hutan merupakan faktor-faktor penting untuk mengekalkan tahap penyerapan karbon hutan.

David McGuire, professor ekologi dari University of Alaska Fairbanks Institute of Arctoc Biology berkata, bahawa hutan memainkan peranan yang terpenting dalam mengawal atur keseimbangan karbon dalam permukaan Bumi dan tahap gas karbon dioksida di atmosfera.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk ahli sains untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat tentang hutan-hutan kerana dengan mengetahui lebih banyak tentang peranan hutan yang dahulu dan masa depan dalam penyimpanan dan penyerapan karbon, perancangan boleh dilakukan yang lebih teliti untuk mengurangkan tahap pelepasan gas rumah hijau.   

Fenomena perubahan iklim masih mempunyai banyak ketidakpastian,n tetapi satu perkara yang pasti ialah hutan-hutan merupakan penyerap karbon yang sangat penting. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab untuk memulihara anugerah Tuhan ini kerana kesan perubahan iklim akan terus mengancam penduduk dunia pada masa yang akan datang dan hutan bolehlah berfungsi sebagai pelindung.

Kerajaan mesti merangka polisi-polisi yang mendorong penggunaan mampan dalam hutan. Begitu juga, usaha perlu dilakukan untuk mewartakan kawasan-kawasan yang dihuni oleh spesis binatang yang terancam dan mendorong pemuliharaan hutan dan penanaman semula hutan.  

Syarikat-syarikat swasta berpeluang untuk melabur dengan bijak dalam ekonomi hijau. Pada masa yang sama mereka juga dapat membangunkan tanggungjawab sosial terhadap pengguna. Mereka patut membangunkan satu polisi iaitu mereka hanya membeli dan menjual barangan mesra alam seperti yang diperakui of Forest Stewardship Council(FSC). 

Pertubuhan awam dan bukan kerajaan memainkan peranan yang penting dalam memantau semua pihak yang terlibat, meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan hutan dan juga menyokong inisiatif-inisiatif yang membina.

Seperti syarikat swasta, individu boleh membuat pilihan yang bijak semasa membeli dan hanya membeli barangan hutan yang berasal daripada sumber yang mampan. Ini bermaksud memeriksa sama ada barangan-barangan tersebut disahkan oleh FSC ataupun tidak. 

Yang paling penting ialah memulihara hutan memerlukan usaha yang berterusan dan memerlukan komitmen dalam mengubah cara kehidupan penduduk dunia yang memboros. Cara hidup yang baru haruslah prihatin terhadap hutan dalam semua penggunaan, pilihan dan juga tindakan.  

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia