Menurut para penyelidik Jepun, kajian mereka menunjukkan sekurang-kurangnya tiga glasier di Himalaya sedang mengalami menyusut dalam sepanjang tempoh 40 tahun lalu akibat daripada permanasan global. Dua daripada tiga glasier tersebut, yang terletak di tengah dan timur Nepal, berkemungkinan besar akan hilang pada masa yang akan datang. 

Dengan menggunakan sistem GPS (Global Positioning System) dan simulasi, mereka mendapati bahawa kadar penyusutan dua glasier, iaitu Yala di tengah dan AX010 di timur Nepal, telah meningkat sejak 10 tahun kebelakangan ini berbanding dengan 1970-an dan 1980-an. 

Glasier di Yala telah menyusut sebanyak 0.8m, manakala AX010 sebanyak 0.81m dalam tempoh 2000-2010, berbanding dengan 0.68m dan 0.72m 20 tahun dahulu. Peningkatan kadar penyusutan ini dipercayai berkait rapat dengan pemanasan global. Penyusutan itu mungkin akan meningkat lagi dalam masa yang akan datang.

Glasier di Yala dan AX berkemungkinan besar akan hilang sekiranya pemanasan global terus berlaku sehingga menyebabkan suhu Bumi meningkat. Namun, satu lagi kajian dan simulasi masih diperlukan untuk mengetahui bilakah glasier tersebut akan lenyap.  

Himalaya merupakan banjaran gunung yang merangkumi 15,000 glasier dan terletaknya gunung tertinggi di dunia seperti Gunung Everest dan Gunung K2. 

Selain daripada perubahan iklim dan kelembapan, ketinggian juga merupakan faktor utama yang memastikan kewujudan glasier. Glasier Rikha Samba di barat Nepal juga sedang mengalami penyusutan sejak 1970, namun kadarnya berkurang ke 0.48m dalam 10 tahun terdekat ini berbanding dengan 0.57m setahun 30 tahun yang lalu. Ini disebabkan oleh glasier tersebut terletak di 5700m dan merupakan altitud yang tinggi yang menyebabkan kehilangan glasier dapat digantikan dengan pengumpulan salji yang lebih banyak. 

Untuk Yala dan AX pula, kedua-dua glasier ini terletak pada altitud yang lebih rendah dan kadar pengumpulan salji adalah lebih rendah. Oleh sebab itu, kedua-dua glasier ini sedang menghadapi ancaman yang serius iaitu berkemungkinan besar akan lenyap daripada permukaan banjaran tersebut. 

Glasier di Banjaran Himalaya merupakan sumber air yang terpenting kepada benua Asia. Ia menyalurkan sumber air mentah kepada sungai-sungai yang penting di negara-negara seperti India dan China. Oleh itu, sekiranya glasier-glasier tersebut lenyap, maka akan berlakunya kekurangan bekalan sumber air kepada negara-negara tersebut. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia