Pakar-pakar sains daripada University of California di Los Angeles (UCLA) memberi amaran bahawa pemanasan global akan mencairkan semua air di Lautan Artik menjelang setiap musim panas pada masa yang datang.

Hasil kajian pakar-pakar sains tersebut disiarkan dalam jurnal sains geologi yang bertajuk `Earth and Planetary Science Letters’ keluaran April 2011. Menurut pakar-pakar sains tersebut, mereka telah menyiapkan kajian tersebut dengan berpandukan analisis terhadap bahan tinggalan fosil moluska yang berusia 4 juta tahun. 

Dua teknik yang digunakan untuk memastikan suhu yang boleh membolehkan pertumbuhan cangkerang moluska tersebut menunjukkan bahawa suhu musim panas di Artik semasa zaman Pliocene (di antara 3.5 hingga 4 juta tahun dahulu) kemungkinan  2 hingga 7 darjah selsius lebih panas daripada hari ini, kata pakar-pakar tersebut,

Tambah mereka lagi, fosil-fosil purba yang digali dari Lautan Artik berkemungkinan pernah berada di dalam satu alam sekitar yang litupan ais yang cair sepenuhnya semasa musim panas. 

‘Suhu dan iklim seperti ini sudah pasti akan mencairkan semua ais di Lautan Artik semasa musim panas’, ujar Aradhna Tripani yang merupakan pembantu profesor di Jabatan Sains Bumi dan Angkasa Lepas UCLA.

Beliau juga berkata bahawa data-data menunjukkan pada awal Pliocene, iaitu tahap gas karbon dioksida pada masa itu hampir sama dengan corak suhu masa kini, mungkin menunjukkan tahap kepanasan bumi akan berlaku sekiranya tahap gas karbon dioksida di atmosfera stabil pada tahap sekarang (400ppt).

Suhu bumi pada masa itu meningkat hampir 12 hingga 15 darjah selsius disebabkan oleh kehilangan litupan ais di kutub Artik, menurut Tripani lagi.

Hasil kajian ini menyokong spekulasi bahawa unjuran iklim meramalkan dalam tempoh 50 hingga 100 tahun yang akan datang, litupan ais di kutub Artik akan cair semuanya ketika musim panas dan akan mendatangkan kesan yang teruk kapada bumi.

Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan-kerajaan (IPCC) telah mengenal pasti bahawa awal zaman Pliocene merupakan jangka masa yang paling sesuai untuk membandingkan perubahan iklim yang berlaku sekarang. Ia boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk membuat unjuran perubahan iklim bagi masa yang akan datang. 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)