Singapura merupakan bandar yang paling hijau di benua Asia. Manakala Kuala Lumpur hanya disenaraikan bersama-sama dengan Bangkok, Jakarta, Beijing, Shanghai dan Delhi di bawah kategori ‘sederhana’. 

Keputusan ini merupakan kaji selidik untuk Indeks Bandar Hijau Asia yang dilakukan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) yang berpusat di Amerika Syarikat..

EIU meninjau dan memeriksa prestasi alam sekitar di 22 bandar utama di Asia di bawah 8 kategori iaitu tenaga dan gas karbon dioksida, penggunaan tanah dan bangunan, pengangkutan, sisa-sisa, udara, sanitasi, kualiti air dan pengurusan alam sekitar secara keseluruhan.

Singapura lebih menonjol di antara 22 bandar tersebut dengan matlamat alam sekitar yang berhasrat tinggi dan langkah-langkah yang berkesan untuk mencapainya. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Sdn Bhd, Prakash Chandran, keputusan ‘sederhana’ yangdiperolehi oleh Malaysia, merupakan permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk menghijaukan lagi negara ini. Indeks tersebut juga menunjukkan Kuala Lumpur sedang menuju ke arah pembangunan lestari dan bakal mencapai status bandar hijau dalam masa yang akan datang. 

Kuala Lumpur mencatatkan keputusan yang baik, iaitu tahap gas sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan bahan-bahan terampai di udara berada pada tahap yang sangat memuaskan. Pembebasan gas sulfur dioksida adalah rendah iaitu pada paras 6 mikrogram dalam satu kubik meter.

Kuala Lumpur mencatatkan indeks yang sederhana dari segi pengurusan alam sekitar secara keseluruhan, penggunaan tanah dan bangunan. Dengan catatan 44 meter persegi ruang hijau untuk seorang di Kuala Lumpur, catatan itu telah melepasi purata indeks iaitu 39 meter persegi. 

Berdasarkan kajian tersebut, tenaga dan gas karbon dioksida merupakan cabaran paling besar yang dihadapi dalam situasi alam sekitar Kuala Lumpur. 

Kenderaan telah menyumbang kepada pembebasan gas karbon dioksida melepasi indeks purata (4.6 ton) hingga ke 7.2 ton. Sanitasi juga merupakan satu lagi isu besar, iaitu hanya 70 peratus daripada jumlah penduduk di bandar yang akses kepada sanitasi. Kebanyakan rumah masih berhubung kepada loji rawatan kumbahan utama seperti tangki septik. 

Pada masa yang sama, Kuala Lumpur juga menghasilkan hampir 816 kg per kapita sampah dalam setahun, jauh melebihi indeks purata iaitu 375kg. 

Pertumbuhan penduduk yang pesat dan sistem pengumpulan serta pelupusan sampah yang lemah merupakan faktor-faktor utama yang memberikan Kuala Lumpur kategori ‘sederhana’ ini. 

Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa Kuala Lumpur merekodkan indeks yang rendah dalam kategori air. Hal ini demikian disebabkan oleh  penggunaan air dan kebocoran air yang tinggi (37%), berbanding dengan indeks purata iaitu hanya 22%. 

Selain usaha kerajaan, pengguna juga perlu memainkan peranan yang aktif untuk merealisasikan impian untuk menjadi bandar-bandar di negara ini mencapai status bandar hijau dan lestari. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia