Lautan merupakan penyerap gas karbon dioksida yang terbesar dan terbanyak di dunia. Peranan yang sama juga dimainkan oleh hutan, iaitu kedua-duanya merupakan agen yang paling penting untuk mengawal suhu dunia. Persoalannya, adakah semua lautan di dunia juga menyerap kuantiti gas tersebut pada kadar yang sama? Sekiranya keputusan kajian sains yang terbaru adalah betul, maka jawapannya ialah semua kadar penyerapan di semua lautan adalah berbeza. 

Menurut kajian terbaru melibatkan hampir 400 orang saintis daripada 10 buah negara, mereka mendapati bahawa Lautan India menyerap hampir tiga kali ganda lebih banyak gas karbon dioksida daripada Lautan Atlantik.

Apakah sebabnya keadaan ini berlaku? Profesor Carlos Duarte menerangkan bahawa ini adalah disebabkan oleh pembiakan yang pesat oleh sejenis alga yang dinamakan diatoms. Diatoms merupakan jenis fitoplankton yang paling umum di dunia yang menyumbangkan 45% kepada jumlah pengeluaran utama di dalam laut. 

Fitoplankton merupakan kumpulan autotrof (tumbuhan) plankton yang terdapat di permukaan air dan memainkan peranan yang penting dalam rantai makanan di laut dan sungai. Ia memerlukan dan menyerap cahaya matahari dan gas karbon dioksida untuk menjana tenaga bagi menghasilkan makanan. 

Ramai saintis telah menggandakan usaha mereka dalam penyelidikan laut kerana mereka mengetahui bahawa laut memainkan peranan yang amat penting untuk mengatasi masalah perubahan iklim. 

Dunia mesti mengumpulkan pengetahuan yang banyak mengenai sistem pertahanan yang semula jadi untuk menentang perubahan iklim seperi lautan dan hutan agar keadaan di masa depan tidak bertambah teruk.  

Dengan menambahkan pengetahuan, maka masalah perubahan iklim dapat diatasi dengan lebih berkesan. Oleh itu, ahli sains di seluruh hendaklah berkongsi maklumat-maklumat yang telah dikaji untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap perubahan iklim.

Perubahan iklim merupakan isu sejagat. Oleh itu, ia hanya boleh diselesaikan pada peringkat global dan memerlukan usaha yang lebih gigih dan kerjasama. Pemimpin-pemimpin dunia mesti mengetahui fakta ini dan bukannya terus menuding jari sesama sendiri. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia