Banjir besar yang melanda Queensland telah meragut 31 nyawa dan kerugian harta sebanyak USD30billion. Kini air banjir tersebut sedang menuju ke lautan dan mencemar Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef), yang merupakan terumbu karang terbesar di dunia.

Walaupun mengambil masa selama beberapa tahun untuk mengetahui kesan keseluruhan banjir ini, namun ahli sains Australia telah mengutarakan amaran tentang kerosakan yang serius. Buat masa kini, masalah yang terbesar tertumpu kepada bahagian selatan terumbu karang tersebut, yang terdapat 3 buah sungai yang dilimpahi air banjir iaitu Sungai Burdekin, Fitzroy dan Burnett, telah melepaskan berjuta-juta liter air banjir yang tercemar ke dalam laut. Air yang tercemar ini bakal mencemarkan seluruh sistem terumbu karang tersebut sekiranya keadaan banjir bertambah teruk.

Air banjir adalah berbahaya dalam beberapa aspek. Salah satu masalah ialah isi padu air tawar yang mengalir ke dalam laut. Dari delta Sungai Fitzroy sahaja, isi padu air banjir yang mengalir ke dalam laut mampu untuk memenuhi tiga pelabuhan Sydney. Isi padu air tawar yang berlebihan ini akan mengurangkan tahap kemasinan dan mengundang kemusnahan kepada batu karang.

Air banjir ini telah bercampur-aduk dengan pasir, tanah dan pelbagai jenis sampah sarap daripada bandar dan baja-baja daripada kebun-kebun. Air banjir yang keruh ini menghalang sinaran matahari, mengganggu proses fotosintesis dan meliputi permukaan batu karang. Selain itu, bahan kimia daripada sektor industri dan pertanian juga akan mengganggu kesihatan batu karang secara langsung.

Air banjir yang kaya dengan nutrien ini juga membolehkan pertumbuhan microalgae secara berlebihan dan membekalkan makanan yang cukup kepada larva crown-of-thorns starfish. Apabila mencapai umur dewasa, crown-of-thorns starfish ini akan memakan batu karang dan menyebabkan kemusnahan. Bencana yang baru berlaku telah membuktikan bahawa kemusnahan batu karang ini akan berlaku sempena kemunculan crown-of-thorns starfish.

Pada tahun 2008-2009, beberapa siri banjir besar telah membinasakan beberapa kawasan terumbu batu karang. Dengan ancaman pembangunan di kawasan persisiran pantai, perubahan iklim dan asidifikasi lautan, kerosakan dan ancaman yang dihadapi oleh Terumbu Sawar Besar ini akan bertambah teruk. Keadaan yang sama juga akan berlaku di Malaysia sekiranya sikap tidak ambil peduli terhadap perlindungan dan kemampanan alam sekitar.


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia