PARIT BUNTAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada operator kantin sekolah supaya tidak menaikkan harga jualan makanan dan minuman sesuka hati.Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata operator kantin tidak terlepas daripada pemantauan pihak kementerian.“Ini membabitkan kebajikan anak-anak sekolah. Apabila tender kantin telah diproses dan dianugerahkan kepada operator kantin terbabit, itu tidak bermakna jika berlaku kenaikan harga, pihak operator kantin terlepas dari aspek kawalan dan pemantauan kementerian.“Sebut harga, proses tender adalah mengikut prosedur dan mekanisme yang ditentukan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah.

“Bagaimanapun, kalau berlaku tidak letak tanda harga dan kenaikan harga jualan makanan dan minuman tidak seperti spesifikasi tender, itu memerlukan pemerhatian dan pemantauan oleh KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kilang Kedua Harta Packaging Industries (Perak) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Parit Buntar di sini, hari ini.

Saifuddin mengulas lanjut mengenai aduan pengguna berhubung kenaikan harga makanan di kantin sekolah, selain tindakan segelintir pengusaha kantin yang tidak meletakkan tanda harga pada makanan.

Semalam beliau dilaporkan berkata kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan, berhubung aduan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Beliau menegaskan proses tender bagi menjual makanan di kantin sekolah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan dan syarikat yang mengambil bahagian dalam tender disyaratkan memasukkan cadangan harga makanan.

Sementara itu, Saifuddin mengalu-alukan usaha Pergerakan Pemuda UMNO mahu menubuhkan Sekretariat Pemantauan Harga Barang kerana usaha untuk menangani isu kos sara hidup memerlukan pembabitan semua pihak.

“Jadi usaha yang dimulakan oleh Pemuda UMNO ini saya sambut baik dan saya difahamkan dari kenyataan media beliau (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) akan mewujudkan pasukan mereka, kemudian menguar-uarkan hasil tinjauan mereka.

“Berikutan itu, saya juga akan meminta pegawai saya di peringkat kementerian (iaitu) Bahagian Penguatkuasaan dan juga Majlis Harga Barang Negara untuk memberi perhatian kepada hasil kerja Pemuda UMNO ini, di samping menjalankan tugas hakiki mereka seperti biasa.

“Usaha mereka ini juga sesuai dengan kempen kementerian mengenai gerakan kepenggunaan khususnya untuk menjalankan program pendidikan pengguna. Sudah tentu usaha yang dibuat selaras dengan dasar yang berlangsung di peringkat kementerian,” katanya.

Semalam, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata pihaknya akan mengerahkan kesemua Ketua Pemuda UMNO di bahagian setiap negeri untuk melakukan pemantauan berkenaan yang dijangka bermula bulan hadapan.

Katanya, tindakan ini bagi membantu kerajaan untuk memastikan harga barang tidak terus menekan rakyat.