PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung aduan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses tender bagi menjual makanan di kantin sekolah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan dan untuk sesuatu syarikat atau peserta mengambil bahagian, mereka disyaratkan memasukkan cadangan harga makanan yang akan dijual.

“Apabila jawatankuasa tender meneliti dan menganggap ia sebagai harga yang memenuhi spesifikasi tender, maka ia adalah keputusan jawatankuasa itu. Justeru, perkara ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan secara langsung.

“Jika aduan sampai ke KPDNHEP, sudah tentu kementerian ini akan terlebih dulu berhubung dengan Kementerian Pendidikan dan jika aduan itu sah, maka kita boleh mengesyorkan langkah yang sewajarnya diambil,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Setiausaha KPDNHEP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas aduan pengguna berhubung kenaikan harga makanan di kantin sekolah, selain tindakan segelintir pengusaha kantin yang tidak meletakkan tanda harga pada makanan.

Saifuddin berkata, kementeriannya menerima kira-kira 4,000 aduan sebulan dengan yang tertinggi adalah mengenai kenaikan harga, diikuti penipuan urus niaga dalam talian dan iklan yang mengelirukan.

“Daripada aduan kenaikan harga yang kami terima daripada lapan saluran yang disediakan, 50 peratus adalah mengenai harga makanan dan minuman di premis makanan, termasuk beberapa aduan kenaikan harga makanan di kantin sekolah,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Setiausaha KPDNHEP yang baharu, Datuk Muez Abd Aziz, menerima nota serah tugas daripada Datuk Seri Jamil Salleh yang bersara wajib mulai 9 Januari lalu.

Muez, 56, sebelum ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP.