"Sejarah mungkin berulang". Kalau dulu, kes keracunan makanan kenduri kahwin telah berlaku di negeri Kedah. Pada kali ini, kes keracunan makanan pasar malam pula yang berlaku di salah sebuah negeri pantai timur. Kenapa sejarah kes keracunan perlu berulang banyak kali? Media massa malah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga selalu menekankan punca-punca kes keracunan makanan. Persoalannya adakah pihak yang menyediakan makanan, lebih spesifik peniaga makanan telah menitikberatkan soal kebersihan? Tahukah mereka akan bakteria yang sedang menunggu peluang keemasan untuk membiak jika makanan tidak dimasak dengan betul? 

"Sudah terhantuk baru nak tengadah". Apabila berlaku kes keracunan yang melibatkan kematian, barulah banyak pihak yang akan membuka mata. Soal kebersihan bukan perkara yang bermusim, hanya mementingkan kebersihan ketika isu ini sedang panas. Selepas isu ini semakin reda, soal kebersihan semuanya "ke laut". Bukan niat di hati ingin menghentam peniaga makanan. Tidak. Selama ini saya hanya memerhati. Tetapi untuk kes keracunan makanan pasar malam ini, saya rasa terpanggil untuk mengutarakan pendapat saya kerana saya juga merupakan peminat tegar makanan pasar malam.