PETALING JAYA, 10 Oktober 2013 - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menjalankan operasi pemeriksaan ke atas produk makanan yang telah tamat tarikh luputnya di 3 buah pasar raya besar di sekitar Lembah Klang. Operasi pemeriksaan ini telah dilakukan pada 2 Oktober, 3 Oktober dan 7 Oktober 2013, yang melibatkan 12 orang staf.

Hasil daripada operasi pemeriksaan selama tiga hari tersebut, yang diketuai Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA dan Encik Saravanan Thambirajah, Pengarah Operasi FOMCA, sebanyak 75 jenis produk makanan yang tamat tarikh luput berjaya dikenal pasti dan dibeli.

Dalam sidang media yang diadakan pada 10 Oktober 2013, di Institut of Marketing Malaysia di sini hari ini, FOMCA  telah mendedahkan 75 produk makanan tersebut kepada media. Sidang media dikendalikan oleh Encik Saravanan, dan dibantu oleh Encik Foon Weng Lian, Timbalan Setiausaha Agung FOMCA dan Cik Nurul Husna Mohd Yusof, Eksekutif Undang-Undang, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).


Operasi yang dijalankan oleh FOMCA ini menunjukkan bahawa pasar raya besar masih menjual produk makanan yang telah tamat tempohnya. Justeru, FOMCA telah membuat beberapa desakan kepada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia. Desakan tersebut ialah:

Menguatkuasakan Peraturan Makanan, 1988 supaya semua produk makanan yang telah tamat tarikh luputnya hendaklah dikeluarkan daripada rak jualan. Jika masih terdapat kedai yang menjual produk makanan yang telah tamat tarikh luputnya, maka tindakan tegas perlu dikenakan untuk menjamin keselamatan pengguna.
Memastikan semua produk makanan mesti diletakkan tarikh luput.
Label tarikh luput perlu menggunakan format yang jelas dan mudah untuk dibaca, sebagaimana keperluan dalam Peraturan 14 - `tarikh hendaklah ditandakan atau diukir secara tetap pada pembungkusan’. Ukuran dan fon pada label mestilah mematuhi keperluan Peraturan Makanan. Sering kali tarikh luput sukar dilihat dan dibaca (saiz fon yang kecil dan diletakkan di tempat yang tersembunyi) dan mudah untuk ditanggalkan bagi tujuan pelabelan atau penandaan semula tarikh.

Dalam pada itu, FOMCA turut menyatakan kebimbangan akibat daripada pengambilan produk makanan yang telah tamat tempohnya, iaitu bahaya kepada kesihatan. Ini disebabkan produk yang telah tamat tempohnya berkemungkinan untuk menghasilkan bahan kimia dan biologi berbahaya yang berpunca daripada bakteria / kulat / cendawan, yang membiak dan berubah dalam komposisi  kimia makanan dari semasa ke semasa (seperti degradasi lemak dalam makanan).

Pelabelan tarikh luput produk makanan terletak di bawah Peraturan Makanan 1985, yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia. Peraturan 9 dan 14 dalam Peraturan Makanan 1985 menetapkan keperluan pelabelan makanan dan penandaan tarikh. Tarikh luput (penandaan tarikh) merupakan sebahagian daripada keperluan pelabelan minimum bagi makanan, sebagai asas dalam menentukan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat dan keselamatan terpelihara.

FOMCA juga berharap agar pihak kerajaan, pengeluar, peruncit, termasuk pengguna memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan makanan dalam produk makanan.

Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)