Krisis di Asia Barat dikatakan sebagai punca harga minyak mentah melonjak kepada AS$100 setong. Akibatnya permintaan kepada bio bahan api (biofuel) kian meningkat. Keadaan ini menyebabkan komoditi seperti tebu, yang sebelum ini ditanam untuk menghasilkan gula, kini telah ditukar untuk menghasilkan etanol sebagai bio bahan api.

Begitu juga bencana alam yang berlaku di beberapa buah negara seperti Australia, India, China dan sebagainya, menyebabkan kekurangan bekalan bahan makanan seperti gandum, jagung, bawang dan lain-lain. Akibatnya dunia bakal berhadapan dengan krisis bekalan makanan, sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008 dahulu.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian, PBB (FAO) turut mengakui hakikat ini apabila mengatakan paras harga makanan telah mencapai paras tertinggi pada bulan Disember 2010. Ini berdasarkan kepada indeks harga makanan FAO bagi bakul makanan telah mencecah 214.7 pada bulan Disember 2010, berbanding 213.5 ketika krisis makanan memuncak pada bulan Jun 2008.

Kini krisis harga makanan mulai melanda negara apabila harga bahan makanan mulai meningkat. Walaupun harganya masih pada paras yang terkawal, tetapi jika tiada langkah konkrit yang dilakukan, harga bahan makanan ini akan terus naik.

Sebahagian besar daripada bahan makanan untuk keperluan negara adalah diimport. Bil import bahan makanan negara pada 2009 adalah 26.7 bilion. Ini menyebabkan sebarang keadaan yang berlaku di peringkat global akan memberi kesan kepada bekalan makanan negara. Krisis makanan pada tahun 2008 perlu dijadikan sebagai pengajaran apabila negara menghadapi masalah kekurangan bekalan beras yang meruncing.

Rentetan daripada krisis makanan 2008, kerajaan telah mewujudkan Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008-2010, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 bilion (walaupun dalam perbentangan bajet 2009, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk dasar jaminan makanan negara). Dasar ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran bahan pertanian untuk makanan, khususnya pengeluaran beras. Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan pengeluaran beras negara sehingga mencapai tahap kecukupan diri (self-sufficiency) dengan menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi yang kesembilan.

Dengan wujudnya kebimbangan mengenai krisis makanan yang bakal berlaku pada tahun 2011, maka kerajaan perlu meneruskan Dasar Jaminan Makanan ini. Sewajarnya kerajaan mempunyai pelan strategik jangka panjang berkaitan Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Dasar ini bukan sahaja tertakluk kepada beras sahaja, tetapi juga makanan lain yang menjadi keperluan harian rakyat. Sebagai contoh gandum yang menjadi makanan ruji harian, sedangkan bahan mentah ini diimport sepenuhnya. Kajian perlu dilakukan bagi mendapatkan bahan alternatif bagi menggantikan gandum, yang boleh ditanam di negara ini, seperti tepung beras atau tepung ubi.

Dalam pada itu, bagi memastikan bekalan bahan makanan yang diimport sentiasa mencukupi, kerajaan juga perlu mewujudkan stok penimbal yang mencukupi untuk tempoh 3 bulan hingga 6 bulan. Keadaan semasa di negara pembekal utama bahan makanan ini sentiasa dipantau bagi memastikan keadaan di negara tersebut tidak menjejaskan bekalan bahan makanan. Jika ini berlaku, maka usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan bekalan daripada negara lain yang tidak terjejas.

Para pengguna juga perlu memainkan peranan dalam menghadapi krisis makanan ini. Mereka perlu mengamalkan tanaman sayur-sayuran di halaman rumah untuk keperluan sendiri. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan harian, tetapi juga membolehkan mereka menikmati sayur-sayuran yang segar dan tidak dicemari dengan racun makhluk perosak.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)