Kita sedang dilanda krisis makanan sedunia yang telah berlaku sebanyak dua kali semenjak 3 tahun yang lepas. Harga makanan dunia mencatatkan rekod tertinggi pada bulan Januari 2011, yang disebabkan oleh peningkatan mendadak dalam harga gandum, jagung, gula dan minyak. Walaupun peningkatan harga ini hanya memberi kesanyang kecil kepada inflasi di Amerika Syarikat, namun ia telah memberi kesan yang teruk kepada golongan miskin yang bergantung kepada makanan-makanan asas ini untuk kehidupan.

Menurut ahli ekonomi, kesan daripada krisis makanan ini adalah di luar jangkaan ekonomi. Kekacauan yang berlaku di negara-negara Asia Barat telah menimbulkan banyak persoalan tentang mengapakah ia berlaku sekarang, dan bukannya tahun-tahun sebelum ini. Ramai pakar ekonomi memberi spekulasi bahawa kenaikan harga makanan mungkin merupakan pencetus kepada kekacauan tersebut.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kenaikan harga makanan ini. Namun faktor yang paling ketara ialah keadaan cuaca melampau yang mengganggu pengeluaran pertanian. Di samping itu, cuaca melampau ini dijangka akan meningkat pada masa hadapan dengan peningkatan gas rumah hijau yang dilepaskan ke dalam atmosfera. Ini juga bermaksud bahawa peningkatan harga makanan yang berlaku sekarang mungkin hanya merupakan satu permulaan.

Selain daripada kenaikan harga makanan, banyak harga bahan mentah seperti aluminium dan zink juga sedang meningkat sejak tahun 2009 lagi. Peningkatan ini dipercayai didorong oleh pertumbuhan pesat dalam sektor industri.

Dalam negara-negara sedang membangun seperti China yang mempunyai permintaan daging yang tinggi, juga telah meningkatkan keperluan makanan kepada haiwan ternakan. Selain itu, hasil tanaman dalam sektor agrikultur seperti kapas, juga bersaing untuk menggunakan tanah yang turut diperlukan untuk tanaman makanan. Justeru, pertumbuhan ekonomi serta dasar tenaga yang lemah dan tidak terancang telah memainkan peranan dalam peningkatan harga makanan ini.

Sejak musim panas tahun lepas, cuaca melampau telah melanda hampir keseluruhan benua dunia. Berdsarkan laporan, harga gandum telah naik berlipat-ganda sejak musim panas lepas. Kesan kenaikan harga gandum ini amat jelas dan ia disebabkan oleh pengeluaran dunia yang menjunam mendadak. Musim kemarau dan gelombang panas yang berpanjangan di Moscow telah mencatatkan suhu setinggi 400C dan hampir melumpuhkan pengeluaran gandum di Rusia.

Musim kemarau di Rusia dan Brazil, banjir besar di Australia dan musim sejuk yang melampau di Amerika Syarikat dan China, telah menjejaskan pengeluaran makanan sedunia.

Apakah yang menjadi punca kepada cuaca yang melampau ini?

Jika dilihat daripada sudut kejadian La Niña, yang merupakan satu fenomena cuaca yang biasa. Fenomena ini akan menyebabkan suhu air di kawasan khatulistiwa dan Lautan Pasifik menjadi lebih sejuk. Fenomena ini telah dikaitkan dengan krisis makanan sedunia pada tahun 2007-2008.

Tahun 2005 dan 2010 mencatatkan rekod purata suhu yang tertinggi dalam setahun, walaupun ketika itu sinaran cahaya matahari berdasar pada tahap minimum. Fenomena La Niña sepatutnya menyejukkan suhu Bumi kita. Rekod suhu yang tinggi ini bukan hanya berlaku di Rusia, tetapi di 19 negara yang merangkumi hampir satu perlima daripada kawasan tanah dunia. Kedua-dua musim kemarau dan banjir besar adalah kesan semula jadi daripada dunia yang semakin panas. Kemarau berlaku disebabkan kepanasan yang berpanjangan, manakala banjir pula akibat daripada lautan yang melepaskan lebih banyak wap air.

Kesan perubahan iklim semakin ketara dan boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja, dalam keadaan tiada sebarang persiapan dilakukan untuk menghadapinya. Kesannya telah mulai dirasai pada masa ini dari segi kekacauan politik dan kegawatan ekonomi. Sekiranya tindakan gagal dilakukan untuk menurunkan pelepasan gas rumah hijau, maka lebih banyak bencana alam yang teruk akan berlaku.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia