Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat t telah mengeluarkan surat amaran kepada Biro Kesihatan Amerika Syarikat supaya memeriksa minyak masak yang diimpot dari China. Pihak penguatkuasa Negara China telah melaporkan bahawa restoran di China menggunakan minyak masak kitar semula dan minyak masak yang telah dicemari sisa-sisa makanan untuk memasak.

Mengikut kajian WuHan Polytechnic University, mereka mendapati penggunaan minyak kitar semula adalah berleluasa dan tidak dikawal di sesetengah tempat di negara tersebut. Profesor He Dongping menegaskan bahawa nisbah minyak masak kitar semula digunakan untuk menyediakan makanan adalah berkadar 1:10.

Bahagian Penguatkuasa negara itu kini giat mencari kilang-kilang yang menghasilkan minyak masak kitar semula, dan Biro Kesihatan juga diminta mengemukakan nama restoran dan pembekal makanan yang menggunakan minyak masak kitar semula.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati semasa menggunakan minyak masak keluaran China ataupun produk keluaran China seperti acar/sayuran yang direndam dalam minyak. Sekiranya terdapat sebarang rasa atau bau yang aneh pada produk tersebut, laporkan kepada pihak berkuasa Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan di talian 03-8885 0600 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
15 April 2010